MELAKA: Semangat perpaduan ummah menerusi kerjasama UMNO dan Pas diyakini mampu membantu Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Calon BN, Datuk Dr Mustafa Musa berkata, kerjasama kedua-dua parti serta keinginan rakyat melihat penyatuan itu menjadi antara faktor yang memberikan keyakinan kepadanya untuk meraih sokongan lebih besar.
“Majoriti terdahulu 500 lebih, dan saya percaya dengan kolaborasi dan kerjasama dengan PAS, dan juga keadaan politik semasa serta keinginan rakyat melihat perpaduan ummah ini atau muafakat Melaka.
“Saya yakin kita dapat meningkatkan sokongan rakyat dan sekali gus meningkatkan jumlah undi yang akan diperoleh oleh Barisan Nasional, insyaAllah,” katanya kepada pemberita selepas program kempen di Durian Tunggal, di sini.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang pertama kali bertanding pada pilihan raya berkata, sokongan kepimpinan parti di kawasan itu turut memberikan keyakinan kepadanya untuk memastikan kerusi berkenaan kekal di tangan BN.
Katanya, kerjasama daripada kepimpinan komponen BN, Friends of Barisan Nasional serta kehadiran tokoh politik negara memberikan momentum kepada jentera kempen.
“Saya penuh yakin dan percaya menjadi satu momentum yang terbaik untuk kita meraih sokongan dan mempertahankan N.09 di tangan Barisan Nasional,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kehadiran Ismail Sabri ke Durian Tunggal sebagai suntikan semangat kepada jentera BN.
“Seperti biasa, Datuk Seri pesan supaya saya menyantuni seberapa ramai pengundi yang boleh, berjabat tangan dengan seberapa ramai yang boleh.
“Kita pastikan bersama dengan Pas untuk gerak kerja sama ada ceramah ataupun walkabout,” katanya. -UTUSAN











