Malaysia Airlines himpun 18 syarikat penerbangan Asia Pasifik di Kuala Lumpur

Malaysia Airlines himpun 18 syarikat penerbangan Asia Pasifik di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines bakal menghimpunkan pemimpin industri penerbangan dari 18 syarikat penerbangan anggota Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) sempena Perhimpunan Presiden AAPA ke-70 pada 12 dan 13 November ini.

Perhimpunan itu dijangka menjadi platform penting bagi membincangkan hala tuju industri penerbangan serantau, khususnya dalam menghadapi tekanan kos operasi, kekangan rantaian bekalan, ketidaktentuan geopolitik serta keperluan memperkukuh kelestarian sektor berkenaan.

Malaysia Airlines berkata, selaku Pengerusi AAPA bagi 2026, syarikat penerbangan itu akan menjadi tuan rumah perhimpunan berkenaan di Kuala Lumpur yang membawa tema ‘Redefining Aviation: Growth, Resilience and Innovation’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Majlis pembukaan akan disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan turut menghimpunkan pemimpin syarikat penerbangan, wakil kerajaan, pengawal selia serta rakan industri dari seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, syarikat penerbangan memainkan peranan penting dalam menghubungkan negara, menyokong aktiviti ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan nasional.

Bagaimanapun, katanya, industri itu terus berdepan persekitaran operasi yang kompleks, termasuk gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos operasi dan perkembangan geopolitik yang memberi kesan kepada sektor penerbangan global.

“Suara bersama menerusi AAPA membolehkan syarikat penerbangan Asia Pasifik mengetengahkan keutamaan bersama serta berunding dengan lebih berkesan mengenai isu yang memberi kesan kepada industri.

“Sebagai Pengerusi bagi 2026, Malaysia Airlines berbangga menyokong usaha kolektif ini dan memperkukuh kerjasama ke arah masa depan penerbangan serantau yang lebih berdaya tahan serta mampan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah AAPA, Wong Hong berkata, syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik kini berdepan permintaan yang semakin sederhana selain tekanan berterusan daripada peningkatan kos bahan api, kekangan rantaian bekalan dan ketidaktentuan operasi.

Katanya, usaha mengekalkan pertumbuhan industri memerlukan kerjasama serantau lebih erat, operasi yang berdaya tahan serta pelaburan berterusan dalam pembangunan tenaga kerja dan infrastruktur.

Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) juga berpotensi membantu industri bertindak lebih pantas terhadap perubahan pasaran dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penumpang.

Menurutnya, kerjasama antara syarikat penerbangan, kerajaan dan rakan industri penting memandangkan sektor penerbangan serantau saling berkait dan berdepan cabaran yang melangkaui operasi sesebuah syarikat.

Dalam pada itu, Malaysia Airlines terus memperkukuh hubungan Malaysia dengan destinasi di Asia Pasifik dan pasaran antarabangsa menerusi hab utamanya di Kuala Lumpur, sekali gus menyokong perdagangan, pelancongan serta hubungan antara masyarakat.

Selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, syarikat penerbangan itu komited memperluas hubungan udara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan serta pintu masuk utama ke rantau Asia Pasifik.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini