Nana sedia masuk `gear 10’ buru undi DUN Kelebang - Utusan Malaysia

Nana sedia masuk `gear 10’ buru undi DUN Kelebang

FARZANA Hayani Mohd. Nasir menandatangani buku kehadiran sewaktu melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi di Ayer Keroh di sini semalam. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd. Nasir tidak mahu memperlahankan rentak kempen, sebaliknya bersedia ‘masuk gear 10’ dalam pecutan akhir bagi memastikan setiap peluang bertemu pengundi dimanfaatkan sepenuhnya.

Mesra dipanggil Nana, calon berusia 26 tahun itu berkata, baki tempoh kempen akan digunakan untuk memperhebatkan gerak kerja di seluruh Kelebang dengan memperbanyakkan program santai dan pertemuan secara dekat bersama masyarakat.

Katanya, jika sebelum ini jadual kempen sudah cukup padat, tempoh berbaki sebelum hari pengundian pada 14 November ini akan menyaksikan jentera PH bekerja dengan lebih agresif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang tengok Nana sekarang sudah masuk gear lima. Nana kata, kalau ada gear 10, memang kita akan terus ke gear 10.

“Untuk tempoh baki ini, insya-Allah kita akan lebih banyakkan jadual, lebih kuat bekerja, lebih agresif, lebih banyak jumpa pengundi dan lebih banyak bersalaman dengan mereka selagi mana yang kita mampu,” katanya ketika melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi di Ayer Keroh di sini semalam.

Sepanjang enam hari berkempen, Farzana Hayani berkata, beliau bersama jentera PH telah turun menyantuni penduduk di kampung dan taman perumahan menerusi pelbagai program termasuk ziarah, walkabout, pengedaran risalah serta pertemuan di kedai makan dan medan selera.

Katanya, pendekatan bersemuka itu memberi peluang kepadanya memperkenalkan diri kepada pengundi, selain mendengar sendiri pandangan serta permasalahan yang dihadapi masyarakat.

Dalam persaingan empat penjuru di DUN Kelebang, Farzana Hayani berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Young Jie Yu daripada Parti Bersama.

Mengakui cabaran di kerusi berkenaan bukan mudah, beliau berkata, pengundi Kelebang diyakini mampu membuat penilaian berdasarkan rekod kerja, keikhlasan dan kesungguhan seseorang calon untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Tipulah kalau cakap cabaran itu tidak ada. Tetapi apa yang penting, Nana percaya pengundi di Kelebang akan mengukur dan menilai seseorang calon berdasarkan sebanyak mana kerja yang telah dibuat di kawasan ini.

“Nana sendiri telah bergerak lama di Kelebang kerana Nana merupakan anak jati Bukit Rambai yang berada dalam kawasan DUN Kelebang,” katanya.

Farzana Hayani sebelum ini pernah bertanding pada PRN Melaka 2021 ketika berusia 21 tahun di DUN Sungai Rambai dan kembali membuat percubaan pada PRN Melaka kali ini di kawasan yang turut meliputi tempat kelahirannya di Bukit Rambai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini