MELAKA: Kesukaran ibu tunggal dan warga emas mendapatkan bantuan kebajikan antara isu paling banyak dibangkitkan penduduk sepanjang kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Beliau berkata, ada dalam kalangan golongan berkenaan yang telah memohon bantuan, namun tidak berjaya kerana tidak memenuhi kriteria tertentu, sedangkan keadaan sebenar kehidupan mereka menunjukkan mereka masih memerlukan sokongan.
Justeru, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka itu bertekad membawa isu berkenaan ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, 14 November ini.
Beliau menambah antara perkara akan diberi tumpuan menilai semula dasar dan syarat kelayakan yang disifatkan terlalu ketat sehingga berisiko menyebabkan golongan benar-benar memerlukan tercicir daripada sistem bantuan.
“Ada warga emas yang mempunyai anak sudah bekerja dan berkeluarga, tetapi mereka tinggal bersendirian dan masih memerlukan bantuan. Perkara seperti ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh.
“Mungkin kerajaan sudah ada syarat dan kriterianya, tetapi kita perlu melihat semula sama ada kriteria itu benar-benar mengambil kira keadaan sebenar kehidupan mereka,” katanya ditemui di Bilik Gerakan DUN Durian Tunggal di sini semalam.
Ashraf Mukhlis berkata, hampir seminggu turun berkempen dari rumah ke rumah, ke kedai kopi dan warung memberi peluang kepadanya mendengar sendiri pelbagai keluhan rakyat, dengan isu kebajikan dan infrastruktur menjadi antara perkara paling kerap dibangkitkan.
Menurutnya, selain masalah bantuan kebajikan, penduduk turut mengadu mengenai longkang yang tidak diselenggara, jalan tidak diturap serta beberapa kemudahan asas yang masih memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata, tugas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan sekadar menyelesaikan masalah kecil di kawasan, sebaliknya perlu menjadi suara rakyat dalam membawa isu dasar yang boleh diperbaiki demi memudahkan kehidupan masyarakat.
“Wakil rakyat bukan sekadar turun menziarah apabila berlaku kematian atau menghadiri kenduri. Kita adalah penggubal dasar dan perlu membawa isu rakyat serta mencari jalan untuk memudahkan urusan mereka.
“Kalau sesuatu dasar itu terlalu ketat sehingga menyukarkan orang yang benar-benar memerlukan bantuan, kita perlu melihat dan menilainya semula,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya birokrasi dalam proses permohonan bantuan kebajikan dipermudahkan, selain memastikan setiap permohonan dinilai berdasarkan keperluan dan keadaan sebenar pemohon tanpa dipengaruhi faktor lain atau menimbulkan persepsi pilih kasih.
Pada PRN Melaka kali ini, Ashraf Mukhlis berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Mustafa Musa dalam pertandingan dua penjuru, dengan kedua-duanya adalah muka baharu di gelanggang Durian Tunggal. -UTUSAN











