PETALING JAYA: Pelaksanaan Dasar Halal Negara perlu disegerakan bagi memperkukuh penyelarasan dasar, pemantauan dan penguatkuasaan antara kementerian serta agensi untuk memastikan isu ketidakpatuhan terhadap pensijilan dapat ditangani dengan berkesan.
Keperluan itu semakin mendesak berikutan penglibatan pelbagai agensi dalam penguatkuasaan halal yang berpotensi menyebabkan pertindihan bidang kuasa dan menyukarkan tindakan diambil secara konsisten terhadap pihak yang melanggar peraturan.
Malah insiden sebuah kilang pemprosesan ayam di Puchong, Selangor yang diragui status halalnya mengukuhkan keperluan mempercepatkan pelaksanaan Dasar Halal Negara.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, dasar berkenaan perlu disegerakan menerusi pendekatan menyeluruh dengan mengambil kira sinergi bersama Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri.
Katanya, perkara itu memerlukan kerjasama rentas agensi memandangkan tanggungjawab memastikan integriti halal bukan hanya terletak pada satu pihak, sebaliknya membabitkan pelbagai bidang kuasa.
Beliau menjelaskan antara badan berperanan dalam soal halal seperti pihak berkuasa tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kesihatan selain Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Dasar ini sebenarnya merangkumi antaranya aspek pensijilan, pengiktirafan badan pensijilan antarabangsa, rumah sembelihan serta pengharmonian pensijilan halal global. Ia akan menjadi panduan strategik bagi membina ekosistem halal yang inklusif, terancang dan mampan.
“Saya yakin semua pihak sedang berusaha membuat penyelarasan dasar, pemantauan dan penguatkuasaan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, negara dikejutkan dengan kira-kira 40,000 ekor ayam yang disembelih dan diproses serta dipasarkan setiap hari oleh sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir di Puchong diragui status halalnya.
Keraguan itu timbul selepas serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa yang mendapati premis tersebut menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik melebihi had ditetapkan pihak berwajib.
Pekerja-pekerja di premis yang telah beroperasi selama 10 tahun itu juga merupakan individu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dipercayai tidak memiliki sebarang sijil perakuan bagi menyembelih haiwan.
Difahamkan Jakim beberapa kali melakukan pemeriksaan serta mengeluarkan teguran kepada pihak pengurusan kilang berkenaan, namun kilang berkenaan masih gagal mematuhi teguran diberikan khususnya berkaitan prosedur pengendalian dan penyembelihan ayam ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohd. Afandi berkata, Dasar Halal Negara perlu menjadi kerangka menyeluruh yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan industri, malah memastikan aspek perundangan, pensijilan, pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih tersusun.
Katanya, menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), sistem perundangan turut diberi perhatian bagi menyeragamkan garis panduan, peraturan dan prosedur halal di peringkat Persekutuan serta negeri.
“Tumpuan utama penyeragaman ini merangkumi aspek pensijilan, pengauditan, promosi dan penguatkuasaan logo halal,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap status halal produk dan perkhidmatan terus terpelihara, selain mengukuhkan daya saing industri halal negara.
Sebelum ini, pembangunan DHN 2025-2035 dilaporkan berada pada fasa akhir dan dirangka sebagai panduan strategik untuk membentuk ekosistem halal yang inklusif, terancang dan mampan tanpa menjejaskan kuasa pensijilan sedia ada di bawah Jakim serta pihak berkuasa agama Islam negeri.
Antara fokusnya termasuk pengukuhan sistem perundangan dan kawal selia, pensijilan halal Malaysia, penyelarasan dengan pihak berkuasa agama negeri, teknologi dan inovasi, kepenggunaan serta penyelidikan halal.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penguatkuasaan pensijilan halal di seluruh negara perlu diseragamkan bagi memastikan setiap pelanggaran peraturan ditangani secara konsisten, sekali gus mengelakkan percanggahan prosedur dan perbezaan tindakan undang-undang antara negeri.
Katanya, kelemahan penyelarasan menyebabkan pihak yang menyalahgunakan pensijilan halal berkemungkinan terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk mereka yang menggunakan sijil halal palsu bagi memperdaya pengguna Islam.
“Pensijilan halal yang diberikan tidak dikuatkuasakan sebaiknya dan kita mendapat laporan ada pihak yang menggunakan sijil halal palsu untuk menarik minat pengguna Islam membeli barangan mereka.
“Namun, pihak berkuasa tidak mempunyai penyeragaman penguatkuasaan yang baik sehingga pihak terbabit kebiasaannya terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, pemantauan terhadap penggunaan logo halal perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan pensijilan berkenaan untuk mengelirukan pengguna Islam.
“Pemeriksaan terhadap semua premis perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira sama ada pemiliknya beragama Islam atau bukan Islam,” katanya.
Menurutnya, pemantauan berkala serta kerjasama antara Jakim dengan pihak berkuasa agama Islam negeri perlu diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten.
“Premis yang melakukan pelanggaran serius atau mengulangi kesalahan pula wajar dikenakan tindakan tegas termasuk penarikan sijil halal dan disenaraihitamkan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.-UTUSAN










