Sindiket PATI bersenjata api

Sindiket PATI bersenjata api

MOHD. ROSLI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa menggunakan senjata api bagi melindungi kegiatan haram mereka, termasuk memiliki pistol dan senapang untuk berdepan sebarang tindakan penguat kuasa yang cuba menggagalkan operasi penyeludupan di perairan negara.

Keadaan berkenaan menjadikan usaha membanteras kegiatan penyeludupan PATI oleh Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semakin mencabar, apabila sindiket dipercayai sanggup menggunakan kekerasan bagi memastikan laluan dan operasi penyeludupan mereka tidak diganggu pihak berkuasa.

Malah, tindakan penyeludup semakin agresif sehingga mengorbankan nyawa seorang anggota APMM manakala tiga lagi cedera dalam pelanggaran ketika operasi khas menahan bot disyaki membawa PATI di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, minggu lalu

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi membanteras kegiatan ini bukan sahaja berdepan cabaran daripada segi taktik penyeludup yang sentiasa berubah, malah terdapat kemungkinan mereka mempunyai senjata api bagi melindungi kegiatan serta melarikan diri sekiranya dihidu pihak berkuasa.

Katanya, sindiket penyeludupan PATI sanggup mengeluarkan modal besar termasuk membeli bot dilengkapi enjin berkuasa tinggi bagi memastikan perjalanan dapat dilakukan dengan lebih pantas dan memudahkan mereka meloloskan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

Malah Mohd. Rosli berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk sekitar Sungai Kelantan terutama di kawasan Tumpat hingga Kuala Besar yang pernah diugut supaya tidak membocorkan maklumat berkaitan aktiviti dan lokasi pendaratan bot penyeludup.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, bayaran yang dikenakan boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM25,000 seorang bagi setiap PATI yang dibawa masuk ke Malaysia, bergantung kepada laluan, destinasi dan perkhidmatan yang disediakan sindiket.

“Justeru, aspek keselamatan anggota sentiasa diberi keutamaan ketika melaksanakan operasi, terutama apabila berhadapan dengan suspek yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Minggu lalu, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd. Roshaimi Mohd. Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis mening­gal dunia selepas bot dinaiki ketika mengejar suspek terlanggar bongkah konkrit di kawasan Sungai Padang, Perlis yang turut menyebabkan tiga anggota lain tercampak keluar.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ketika kejadian, ang­gota terlibat mengesan bot enjin sangkut dinaiki PATI berkenaan sekitar pukul 11 malam di perairan sekitar Kuala Sanglang.

Katanya, anggota Maritim Malaysia tersebut mengejar bot PATI berkenaan dan dalam keadaan gelap itu turut berlaku himpit menghimpit antara dua bot berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Rosli berkata, sindiket penyeludupan migran sering mengeksploitasi kawasan pesisir pantai yang terpencil, pulau-pulau kecil, muara sungai dan kawasan bakau sebagai lokasi transit sementara sebelum PATI dibawa masuk ke daratan.

Katanya, lokasi terbabit sentiasa berubah mengikut modus operandi sindiket dan maklumat risikan semasa dan APMM tidak menumpukan kepada satu lokasi tertentu sahaja, sebaliknya mengamalkan konsep ‘intelligence-led enforcement’ melalui rondaan berasaskan analisis risiko dan maklumat risikan terkini.

“APMM tidak akan berkompromi dalam kawalan perairan Malaysia dan akan terus mempertingkatkan rondaan laut dan udara, operasi khas, pengumpulan risikan serta penggunaan sistem pengawasan maritim.

“Ini bagi memastikan sebarang cubaan kemasukan PATI dapat dikesan dan dibanteras dengan berkesan demi menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rosli berkata, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah dikenal pasti antara lokasi tumpuan pendaratan PATI berdasarkan faktor geografi, kedudukan strategik serta penilaian risiko terhadap laluan penyeludupan maritim.

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai ciri seperti pantai yang panjang, pulau-pulau kecil, muara sungai, kawasan bakau serta kedudukan berhampiran laluan maritim antarabangsa yang sering dieksploitasi sindiket penyeludupan.

“Di Sabah, ancaman pendaratan PATI adalah lebih ketara berikutan kedudukannya yang hampir dengan sempadan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini