PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini, susulan daya tahan ekonomi negara yang terus kukuh.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan itu mengambil kira keputusan BNM menurunkan OPR daripada 3.0 peratus kepada 2.75 peratus pada Julai 2025 sebagai langkah awal bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi susulan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) pada April tahun sama.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh pada 5.2 peratus pada 2025, selain berkembang 5.5 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan berdaya tahan.
“Justeru, terdapat keperluan untuk OPR dinaikkan semula ke paras yang lebih normal iaitu 3.0 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Afzanizam berkata, orang ramai perlu memahami bahawa dasar monetari yang ditetapkan BNM bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut perkembangan ekonomi semasa serta prospek masa hadapan.
Menurutnya, prospek ekonomi negara ketika ini dijangka kekal positif, disokong daya tahan permintaan domestik yang turut dibantu pelaksanaan dasar ekonomi termasuk pemberian subsidi dan bayaran pindahan.
“Pada masa sama, kerajaan pula sentiasa menjaga displin kewangan yang banyak membantu dalam meningkatkan keyakinan dalam urusan ekonomi negara,” ujarnya.
Sementara itu, Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook pula menjangkakan OPR kekal pada 2.75 peratus sepanjang baki 2026.
Katanya, sebarang pelarasan lebih berkemungkinan dipertimbangkan pada 2027, bergantung pada perkembangan ekonomi domestik dan global.
“Menaikkan OPR terlalu awal boleh meningkatkan kos pinjaman isi rumah dan perniagaan, sekali gus menjejaskan penggunaan serta pelaburan. Pada masa sama, pengurangan OPR juga belum diperlukan kerana permintaan domestik masih kukuh dan tiada tanda kemerosotan ketara.
“Bagaimanapun, BNM perlu memantau risiko luaran seperti ketegangan geopolitik, harga tenaga global dan dasar monetari AS yang boleh mempengaruhi inflasi serta pasaran kewangan,” jelasnya.
Beliau berkata, BNM mungkin menaikkan OPR jika inflasi berterusan, permintaan domestik kekal kukuh dan jangkaan inflasi meningkat.
Jelasnya, harga minyak yang tinggi boleh meningkatkan kos pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran.
“Jika kos itu dipindahkan kepada pengguna serta mendorong tuntutan gaji lebih tinggi, inflasi boleh menjadi lebih meluas. Dalam keadaan tersebut, kenaikan 25 mata asas kepada 3.0 peratus mungkin dipertimbangkan.
“Namun, kenaikan kadar tidak wajar dibuat hanya kerana harga komoditi meningkat sementara. Faktor utama ialah sama ada tekanan luaran itu berubah menjadi inflasi domestik yang berpanjangan,” katanya.
Tambahnya, dasar monetari perlu kekal berhati-hati, berasaskan data dan berpandangan ke hadapan bagi mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan mampan, kestabilan harga dan daya tahan kewangan. – UTUSAN











