KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada Mac 2027 berikutan jangkaan peningkatan inflasi teras dan perbelanjaan isi rumah pada separuh kedua tahun depan, menurut CIMB Securities Sdn. Bhd.
Firma pembrokeran berkata, unjuran terbaharu itu berbeza daripada jangkaan terdahulu bahawa bank pusat akan mengekalkan OPR pada paras semasa sehingga suku ketiga 2027.
“Peningkatan inflasi teras kepada 2.5 peratus pada suku ketiga 2027 dijangka mengukuhkan alasan untuk BNM membalikkan pengurangan kadar faedah pada Julai 2025, sebelum tekanan harga asas menjadi lebih ketara.
“Bagaimanapun, langkah itu dijangka bersifat pencegahan bagi memastikan tekanan permintaan domestik dan kenaikan harga tidak berkembang secara berlebihan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut analisis berkenaan, langkah pengetatan dasar monetari pada Mei 2011 dan Januari 2018 memberikan perbandingan berbeza terhadap kemungkinan pelarasan OPR kali ini.
Pada Mei 2011, BNM menaikkan kadar faedah lebih awal bagi menghadapi tekanan permintaan yang dijangka meningkat pada separuh kedua tahun itu, ketika kenaikan harga makanan dan tenaga berlaku seiring perbelanjaan domestik yang lebih kukuh.
Sementara itu, kenaikan pada Januari 2018 bertujuan membalikkan pengurangan kadar faedah terdahulu selepas pertumbuhan eksport mula mendorong peningkatan pekerjaan, gaji dan pelaburan.
Namun, keadaan semasa berbeza apabila permintaan domestik menunjukkan beberapa tanda penyederhanaan, manakala sebahagian besar peningkatan pendapatan isi rumah dijangka hanya dirasai pada separuh kedua 2027.
Dalam pada itu, Belanjawan 2027 dijangka memberikan sokongan lebih besar kepada isi rumah berbanding jangkaan awal, khususnya menerusi pelepasan cukai individu, bantuan kewangan khas dan kenaikan gaji yang dibiayai majikan.
Analisis itu menganggarkan langkah berkenaan mampu menambah pendapatan dan sokongan kewangan isi rumah sebanyak RM11.5 bilion pada 2027, dengan langkah berkaitan gaji menyumbang hampir separuh daripada jumlah tersebut.
“Daripada peningkatan berkenaan, kira-kira RM8.4 bilion dijangka disalurkan kepada perbelanjaan penggunaan, dengan hampir 80 peratus daripadanya tertumpu pada separuh kedua tahun depan.
“Perkembangan itu diunjurkan meningkatkan pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 0.5 mata peratusan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.2 mata peratusan,” ujarnya.
CIMB Securities mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2027, manakala perniagaan dijangka terus berdepan tekanan kos susulan konflik di Asia Barat serta fenomena El Niño menambah tekanan terhadap harga makanan pada awal 2027.
“Kenaikan gaji turut berpotensi meningkatkan kos operasi syarikat, sementara permintaan isi rumah yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun depan dijangka memberikan ruang kepada perniagaan untuk memindahkan sebahagian kenaikan kos kepada pengguna.
“Sehubungan itu, inflasi teras diunjurkan meningkat daripada 2.0 peratus pada suku pertama 2027 kepada 2.5 peratus pada suku ketiga, sebelum susut sedikit kepada 2.4 peratus pada suku keempat.
“Langkah peningkatan pendapatan dan gaji itu dianggarkan menyumbang 0.27 mata peratusan kepada inflasi teras pada suku keempat 2027, berbanding unjuran 2.1 peratus sekiranya kesan berkenaan tidak diambil kira,” katanya
Firma berkata, kesan tersebut dijangka kurang ketara terhadap inflasi keseluruhan, yang diunjurkan pada 1.8 peratus bagi 2027.
“Langkah berkaitan pendapatan dan gaji itu dianggarkan menyumbang 0.10 mata peratusan kepada inflasi keseluruhan secara tahunan, namun kesannya dijangka diimbangi oleh penurunan harga tenaga,” katanya. – UTUSAN











