Dua pakatan ganti PN

Dua pakatan ganti PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-ma­sing mula merangka dua formula bagi membentuk gabungan baharu, sekali gus mencorakkan semula landskap politik pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). 

Langkah tersebut merupakan pelan yang diambil bagi menentukan hala tuju politik Pas dan Bersatu selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Bersatu didakwa merancang menu­buhkan gabungan baharu dikenali ‘PN 2.0’ yang bakal disertai parti lain termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan sebuah parti mewa­kili masyarakat India.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, Pas pula mahu mengambil langkah sama melibatkan parti yang pernah berada dalam PN sebelum ini iaitu Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan mendaftarkan sebuah gabungan baharu bagi menggantikan PN sekiranya gagal dihidupkan semula selepas dibatalkan oleh RoS.

Beliau berkata, perkara itu akan di­bincangkan dan dimuktamadkan dalam pertemuan dengan semua parti komponen PN yang mahu mengadakan kerjasama dengan Pas tidak lama lagi.

“Namun kita melahirkan kebimba­ngan bahawa gabungan baharu itu juga akan berdepan masalah untuk diluluskan oleh RoS.

“Memang kita Pas juga akan mendaftarkan gabungan atas nama baharu walaupun khuatir kelulusannya. Perkara ini akan dimuktamadkan dalam perbincangan dengan semua parti komponen yang ingin mengadakan kerjasama dengan Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Konflik antara Pas dengan Bersatu memasuki episod baharu selepas RoS membatalkan pendaftaran PN yang ditubuhkan sejak 7 Ogos 2020.

RoS memutuskan untuk membatalkan pendaftaran PN mengikut Akta Pertubuhan 1966 selepas mendapati alasan yang dikemukakan gabungan itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan dalam notis berkenaan.

Sebelum ini, Bersatu mengemukakan aduan rasmi kepada RoS pada 11 Ogos lalu berhubung pelanggaran Perlembagaan PN, termasuk menafikan hak parti itu menyertai Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026. 

Mengulas soal sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas akan terus memberi tumpuan dan fokus kerjasama dengan UMNO termasuk parti-parti lain sekiranya gabungan baharu dibentuk.

Katanya, pembatalan PN tidak akan memberi kesan kepada Pas berbanding Bersatu yang bakal menerima kesan cukup besar dan pihaknya boleh memberi tumpuan terhadap kerjasama dengan UMNO yang sememangnya dinantikan oleh rakyat.

“Gabungan atau kerjasama Pas dengan UMNO bakal memberi kelebihan cukup besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Pas bergabung dengan UMNO, lebih senang nak  mencapai kemenangan dalam PRU16 dan tidak perlu lagi bersusah-payah berkempen,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang digerakkan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dijenamakan sebagai PN 2.0.

Katanya, cadangan susulan hasil mesyuarat Biro Politik Bersatu supaya menggerakkan usaha menghidupkan semula PN melalui kerjasama dijalinkan melalui IPR melibatkan 11 parti politik.

Katanya, beliau berpandangan bahawa kerjasama dengan semua parti politik melalui IPR itu amat longgar dan memerlukan struktur lebih jelas jika mahu menjadi sebuah gabungan parti politik.

“Bersatu kena mencari formula untuk menubuhkan sebuah gabungan yang inklusif supaya dapat melibatkan parti-parti orang bukan Islam dan Melayu kerana Bersatu adalah sebuah parti moderat.

“Saya melihat PN sebagai sebuah platform yang sangat baik dengan struktur jelas, jadi apa salahnya jika gabungan baharu yang hendak diwujudkan Bersatu melalui IPR dijenamakan sebagai PN 2.0,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini