PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus sepanjang 2026 dan 2027, dengan kenaikan 25 mata asas paling awal hanya dijangka berlaku pada 2028.
BIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, keputusan berkenaan mengambil kira prospek inflasi domestik yang terkawal serta penilaian bahawa pasaran bon kini mencerminkan jangkaan hampir dua kenaikan kadar dasar di Malaysia.
“Jurang semasa antara hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun dengan OPR masih berada di atas purata sejarah sekitar 100 mata asas (bps).
“Ini menunjukkan pasaran bon sedang menetapkan harga berdasarkan jangkaan dua kenaikan kadar di Malaysia, iaitu senario yang tidak kami jangkakan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma pemborkeran berkata, kenaikan OPR sebanyak 25 bps pada 2028 akan menjadi langkah normalisasi yang membawa kadar dasar kembali kepada 3.00 peratus.
BIMB Securities berkata, hasil MGS 10 tahun dijangka berada sekitar paras 4.0 peratus dalam tempoh terdekat sebelum beransur-ansur susut kepada julat 3.75 hingga 3.90 peratus menjelang akhir tahun.
Menurutnya, paras hasil semasa agak tinggi berbanding prospek kadar dasar, justeru hasil MGS 10 tahun dijangka sederhana secara beransur-ansur apabila pasaran menyesuaikan semula jangkaan kadar faedah.
“Berdasarkan pandangan kami bahawa OPR akan kekal tidak berubah pada 2.75 peratus sepanjang 2026 dan 2027, ditambah dengan prospek inflasi domestik yang terkawal, hasil MGS 10 tahun dijangka susut daripada paras semasa yang tinggi dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, BIMB Securities mengekalkan unjuran harga minyak pada AS$95 (RM) setong bagi 2026 dan AS$85 (RM) setong bagi 2027.
Firma berkata, pihaknya kekal positif terhadap sektor perbankan dengan pertumbuhan pendapatan dijangka meningkat kepada 7.3 peratus pada 2027 daripada 3.0 peratus pada 2026, didorong pertumbuhan jumlah pendapatan yang lebih kukuh sebanyak 5.9 peratus berbanding 2.6 peratus tahun ini.
Jelasnya, peningkatan itu dijangka disokong pendapatan faedah bersih yang lebih baik apabila margin faedah bersih (NIM) stabil, dengan potensi peningkatan sekitar tiga bps, selain pertumbuhan berterusan dalam pendapatan yuran dan komisen teras.
“Selain itu, keadaan pasaran bon dan hasil MGS yang lebih stabil dijangka menyokong pendapatan perbendaharaan dan pasaran.
“Susulan itu, pulangan atas ekuiti (ROE) sektor dijangka meningkat kepada 10.1 peratus pada 2027 daripada 9.8 peratus pada 2026.
“Hasil dividen juga dijangka kekal menarik pada lima hingga enam peratus, disokong pendapatan yang berdaya tahan serta usaha berterusan bank mengurus modal, termasuk pengagihan lebihan modal melalui dividen khas,” ujarnya.
Tambahnya, MBSB Bank kekal dengan saranan ‘beli’ (nilai saksama: RM0.65), dengan saham itu kekal dinilai menarik pada hanya 0.4 kali nisbah harga kepada nilai buku (PB) 2027, manakala nisbah modal ekuiti biasa Tahap 1 (CET1) yang kukuh sekitar 17.4 peratus menyokong pembayaran dividen sekurang-kurangnya 90 peratus.
“Aktiviti pembiayaan korporat yang semakin kukuh, komposisi akaun semasa dan simpanan (CASA) yang bertambah baik serta pengoptimuman berterusan kos pembiayaan dijangka membantu memacu pertumbuhan selanjutnya dalam pendapatan berasaskan dana pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN











