LONDON: Kos pinjaman United Kingdom (UK) telah melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh 28 tahun di tengah-tengah pergolakan teruk dalam pasaran bon berikutan lonjakan harga minyak yang terus mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan kadar inflasi.
Kadar hasil bon UK berjangka masa 30 tahun yang dikenali sebagai gilts, mencecah 5.9 peratus iaitu tahap tertinggi sejak 1998. Kadar hasil gilts penanda aras bagi tempoh 10 tahun melonjak kepada 5.38 peratus, tertinggi sejak 2007.
Pasaran turut meningkatkan jangkaan berhubung kenaikan kadar faedah oleh Bank of England (BoE). Sekurang-kurangnya lima kenaikan dijangka berlaku antara masa ini hingga akhir 2027. Kenaikan pertama dijangka berlaku seawal November ini.
Perkembangan ini dijangka memberi tekanan berterusan kepada jutaan pemegang pinjaman perumahan. Mereka telah pun berdepan peningkatan mendadak kadar pinjaman oleh bank-bank komersial sejak peperangan melanda Iran.
Punca utama ketidaktentuan pasaran ini adalah disebabkan lonjakan harga minyak mentah Brent.
Harga minyak itu kini telah melebihi AS$107 (RM435.97) setong ke tahap tertinggi sejak Mei lalu di tengah-tengah pertempuran semakin meruncing di Asia Barat.
Harga minyak meningkat daripada AS$96 (RM391.15) pada akhir minggu lalu dan berada di landasan untuk mencatatkan kenaikan mingguan tertinggi sejak Julai.
Dalam pada itu, harga gas di UK turut melonjak dengan data daripada Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) menunjukkan peningkatan ke tahap tertinggi sejak Disember 2022.
Ia melonjak 128 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pasaran saham turut terjejas akibat krisis berkenaan, yang menyaksikan indeks FTSE 100 ditutup rendah 0.6 peratus atau susut 61.1 mata kepada paras 10,608.9. Indeks saham di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) turut mencatatkan penurunan.
Pergolakan dalam pasaran bon ini merebak ke seluruh ekonomi utama dunia. Namun situasi teruk dialami oleh UK yang kini menanggung kos pinjaman tertinggi dalam kalangan negara anggota Kumpulan Tujuh (G7). – AGENSI










