MELAKA: Kerjasama politik antara parti belum tentu menjadi jaminan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun persefahaman itu mampu mengurangkan pertembungan sesama sendiri dan menyatukan kekuatan jentera pilihan raya.
Sebaliknya, keberkesanan kerjasama antara parti bergantung kepada sejauh mana sokongan akar umbi dapat disatukan, selain kesediaan pengundi menerima calon daripada parti yang sebelum ini menjadi lawan politik.
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan itu mempunyai kelebihan jika melihat formula mencampurkan undi kedua-dua pihak dalam PRN Melaka 2021 tetapi hakikatnya bergantung kepada kesediaan pengundi menerima calon daripada parti yang sebelum ini menjadi lawan politik.
Namun begitu Pakatan Harapan (PH) berpotensi tinggi kerana mempunyai kekuatan pengundi teras meskipun mereka perlu berdepan kerjasama antara BN dan PN.
Situasi itu menjadikan PRN Melaka sebagai medan menguji bukan sahaja kekuatan gabungan politik, malah kemampuan setiap parti menterjemahkan persefahaman di peringkat kepemimpinan kepada sokongan sebenar di peti undi.
Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, potensi kemenangan di sesebuah kerusi hasil kerjasama politik antara gabungan tidak boleh diukur hanya kepada formula mencampurkan undi kedua-dua pihak dalam PRN Melaka 2021.
Katanya, keputusan seseorang pengundi untuk memangkah mana-mana calon lazimnya tidak dipengaruhi oleh arahan parti.
Beliau menjelaskan, meskipun sesebuah parti itu mengarahkan ahlinya mengundi rakan kerjasama di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi, faktor calon seperti rekod perkhidmatan dan status anak tempatan bakal menjadi pertimbangan utama mereka.
Ujarnya, di Klebang, beliau yakin pemimpin tempatan dan ahli UMNO serta Pas yang masih mempunyai hubungan baik dengannya akan memberikan undi, atas dasar politik khidmat.
“Saya yakin rakan-rakan saya dalam Pas mengenali diri saya dan bila timbul ataupun bila mereka berada dalam dua persimpangan hari ini, sama ada nak meletakkan kepimpinan itu kepada mereka yang benar-benar layak ataupun mereka mengikuti apa yang disarankan oleh pimpinan mereka,” katanya ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Howard Lee Chuan How berkata, kerjasama antara BN dan PN dalam PRN Melaka belum tentu menggugat peluang PH yang juga mampu menyatukan sokongan pengundi.
Katanya, keputusan yang bakal dibuat pengundi tentang mana-mana kerjasama adalah hak peribadi mereka yang tidak boleh dikawal oleh sesiapa.
“Saya rasa inilah asam garam lumrah fitrah politik. Apabila ada pihak yang ingin bergabung, ada tiga penjuru ke, lima penjuru ke, ada satu dua gabung, itu asam garam.
“Tapi adakah benda ini menggugat? Membawa mudarat? Saya rasa saya tak nak mendahului keputusan rakyat,” katanya.
Bagi calon BN DUN Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah, beliau yakin mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2021 dengan majoriti besar dengan kerjasama daripada ahli dan jentera Pas.
Rosli berkata, kerjasama yang ditunjukkan bukan sekadar di peringkat kepimpinan, sebaliknya turut membabitkan ahli dan penyokong Pas di peringkat akar umbi yang bersama-sama menggerakkan kempen di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, komitmen jentera Pas turut dapat dilihat menerusi kesungguhan mereka membantu gerak kerja kempen, termasuk memasang bendera BN di markas dan kawasan kampung. – UTUSAN











