Dasar halal negara diperkasa

Dasar halal negara diperkasa

Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Bengkel Transformasi Halal di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam kluster utama dikenal pasti menjadi teras kepada strategi transformasi ekosistem halal Malaysia yang diyakini dapat terus melonjakkan jenama halal negara ke tahap lebih tinggi khususnya di pasaran global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, strategi itu termasuk sasaran 50,000 tenaga kerja halal kompeten yang akan dilahirkan menjelang tahun 2030.

Beliau yang merupakan Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Agenda Halal Malaysia berkata, enam strategi itu adalah dengan mengkaji semula dasar halal negara; mendigitalisasikan sistem pensijilan halal serta memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti farmaseutikal halal.

Pendekatan lain katanya, merangka strategi pemasaran baharu dengan memanfaatkan platform digital dan e-dagang, mengurus bakat dan tenaga kerja halal serta mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) halal.

“Fokus utama strategi ini adalah untuk meningkatkan daya saing jenama halal Malaysia di peringkat antarabangsa dan memanfaatkan potensi pasaran halal global yang terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan, langkah untuk mengkaji semula dan menambah baik dasar halal negara adalah agar selaras dengan perkembangan global serta memenuhi keperluan lebih 1.9 bilion umat Islam di dunia.

“Penyelarasan antara semua pemegang taruh akan diperhebat bagi memastikan ekosistem halal yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, menerusi strategi kelima iaitu pengurusan bakat dan tenaga kerja halal, ia akan diperkasa melalui latihan, pensijilan profesional serta peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) halal.

“Ia bagi melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing di peringkat global. Sasaran 50,000 tenaga kerja halal kompeten menjelang 2030 akan menjadi keutamaan.

“Ia juga memastikan Malaysia mempunyai modal insan berkualiti yang mampu mengukuhkan kepemimpinan negara dalam industri halal” tambahnya.

Jelas beliau, penumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti farmaseutikal halal, logistik halal, dan teknologi makanan adalah mengambil kira sektor-sektor itu kini dianggarkan bernilai AS$134 bilion.

“Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan ekosistem halal domestik, malah akan memacu pertumbuhan industri halal Malaysia yang kini menyumbang sekitar 7.7 peratus kepada KDNK negara,” katanya.

Selain itu, menurut Ahmad Zahid, Malaysia akan terus menjadikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) sebagai platform utama menarik pelabur dan pembeli global.

“Malaysia mesti menjadi perintis dalam transformasi industri halal dunia dan dengan strategi yang jelas serta kerjasama erat, kita akan menjadi hab halal unggul yang diyakini dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN