KUALA PILAH: Semua perjawatan utama di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dijadikan sebagai jawatan tetap.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira skim perkhidmatan sedia ada yang meletakkan sebahagian besar tenaga kerja Kemas di bawah lantikan kontrak.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Kemas mengambil kepedulian terhadap skim perkhidmatan baharu kepada seluruh guru-guru Kemas dengan gaji dan tawaran yang lebih menarik.
“Kerana selama ini, skim perkhidmatan yang telah diluluskan oleh pihak JPA meletakkan Kemas berada di dalam jawatan kontrak.
“Saya telah meminta Ketua Pengarah Kemas supaya jawatan yang diberikan kepada seluruh guna tenaga Kemas adalah merupakan jawatan tetap,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas merasmikan Hari Kemahiran Peringkat Negeri Sembilan dan Program Alpha-Gen Talent Kemas di Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.
Jelas beliau, langkah itu bukan dibuat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya sebagai usaha menghargai komitmen guru serta tenaga kerja Kemad yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
Katanya, Kemas juga terus membuktikan kecemerlangannya apabila institusi pendidikan awal kanak-kanak di bawah jabatan itu menerima pengiktirafan antarabangsa daripada majalah Reader’s Digest selama enam tahun berturut-turut.
“Komitmen yang diperlihatkan oleh guru-guru dan tenaga Kemas mendapat pengiktirafan dunia sebagai petanda kita boleh maju lagi ke hadapan.
“Jangan pernah pandang rendah kepada kemampuan KEMAS di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Negeri Sembilan berpotensi muncul antara negeri paling pesat membangun sekiranya berlaku perubahan kerajaan.
Menurutnya, kedudukan Negeri Sembilan yang diapit Selangor dan Melaka menyebabkan negeri itu perlu bergerak lebih pantas dalam aspek pembangunan industri, pelancongan, keusahawanan dan kemahiran.
Beliau turut berharap Menteri Besar baharu kelak dapat memberi perhatian terhadap kebajikan warga Kemas di negeri itu.
Ia termasuk mempertimbangkan pemberian bonus tambahan seperti yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Johor kepada guru, pegawai dan kakitangan Kemas. – UTUSAN










