TAMPIN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap isu berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji tidak dipolitikkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden UMNO itu berkata, laporan berkenaan perlu dilihat secara profesional dan dijadikan asas bagi mencari jalan penyelesaian, sebaliknya mencetuskan polemik yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit terhadap institusi berkenaan.
Menurutnya, keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji kini dilihat semakin meningkat serta tidak perlu dirosakkan hanya disebabkan tafsiran yang tidak tepat terhadap dapatan RCI.
“Saya mendukung hasrat Perdana Menteri untuk membentangkan hasil siasatan berkenaan.
“Saya harap isu ini tidak dipolitikkan ketika PRN ini dan sebarang laporan audit serta laporan siasatan hendaklah menjurus ke arah mencari jalan penyelesaian, bukannya mengeruhkan keadaan.
“Keyakinan pelabur dan pencarum terhadap Tabung Haji semakin meningkat dan jangan dirosakkan semata-mata kerana interpretasi yang salah terhadap laporan RCI,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas sama ada individu yang dikaitkan dalam laporan RCI tidak harus ‘kebal’ daripada dikenakan tindakan, Ahmad Zahid menegaskan tiada mana-mana pihak mempunyai kekebalan di sisi undang-undang.
Katanya, sebagai sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja, segala dapatan RCI perlu didedahkan secara telus sebelum sebarang tindakan lanjut diambil mengikut lunas perundangan.
“Tidak ada kekebalan kerana RCI ialah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menjalankan siasatan dan dapatan daripada siasatan serta kajian itu perlu diketahui secara telus.
“Selepas itu, jika terdapat sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pecah amanah atau amalan tidak wajar lain, ada proses untuk membuat laporan polis dan menjalankan siasatan dari aspek jenayah, jenayah perdagangan serta perundangan lain,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin pembentangan laporan RCI ketika tempoh kempen PRN tidak menjejaskan keputusan rakyat.
Katanya, pengundi di Negeri Sembilan cukup matang untuk menentukan gabungan yang layak diberi mandat berdasarkan prestasi dan rekod pentadbiran.
“Saya tidak fikir ia akan memberi pengaruh. Saya tahu tujuannya adalah untuk melemparkan kebencian dan mewujudkan ketidakpercayaan terhadap sesebuah gabungan.
“Namun, rakyat terutama pengundi di Negeri Sembilan sangat bijak membuat penilaian. Di minda dan hati mereka, mereka tahu calon serta gabungan yang akan dipilih.
“Kalau ada niat yang tidak baik, saya harap niat itu akan dibolak-balikkan oleh Allah SWT,” katanya. – UTUSAN










