PM telah diberi nasihat yang salah, TuJu memalukan negara – Guan Eng

PM telah diberi nasihat yang salah, TuJu memalukan negara – Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aplikasi navigasi tempatan, TuJu disifatkan sebagai memalukan negara susulan pelbagai kelemahan yang didakwa menyusahkan pengguna.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, aplikasi itu masih belum mampu menandingi keupayaan Waze yang penggunaannya telah dilarang dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.

Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keupayaan TuJu untuk menggantikan Waze perlu dikenakan tindakan susulan kelemahan aplikasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun ramai menyokong usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan keselamatan negara, penilaian sewajarnya dan ujian yang ketat perlu dijalankan bagi memastikan aplikasi pengganti, TuJu, benar-benar mampu menandingi serta menggantikan fungsi asas navigasi jalan raya yang ditawarkan oleh Waze.

“Maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi TuJu hanya akan menyusahkan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau menerima aduan mengenai ketidakberkesanan TuJu dan kerajaan tidak sepatutnya mewajibkan penggunaannya sebagai pengganti Waze.

Katanya, meskipun rakyat menyokong usaha kerajaan melindungi keselamatan negara, mereka tidak bersetuju sekiranya Waze digantikan dengan aplikasi yang masih mempunyai kelemahan sehingga gagal berfungsi dengan baik.

“Jelas sekali, Perdana Menteri telah diberikan nasihat yang salah. Datuk Seri Anwar juga harus menjelaskan kepada rakyat berapakah kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membangunkan TuJu?

“Individu yang bertanggungjawab meyakinkan Datuk Seri Anwar bahawa TuJu mempunyai keupayaan teknologi yang mencukupi untuk menggantikan Waze harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan.

“Adakah pihak yang mereka bentuk TuJu mendapatkan nasihat pakar daripada golongan profesional dari Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun?” soalnya.

Sehubungan itu, Guan Eng menggesa Anwar menilai semula perancangan pembangunan aplikasi berkenaan dari awal dengan meminta Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) membangunkan versi TuJu yang lebih baik dan berupaya menjadi pengganti Waze yang berkesan.

“Bagaimanakah JKSN boleh diharapkan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menangani ancaman siber yang sentiasa berkembang, memperkukuh kesiapsiagaan negara dan kedaulatan digital, sedangkan keperluan asas pengguna untuk navigasi jalan raya pun tidak dapat dipenuhi?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini