SEREMBAN: Negeri Sembilan perlu dibangunkan sebagai sebuah negeri mesra perniagaan dengan memberi penekanan kepada usaha memperkasa golongan usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini, golongan usahawan PMKS perlu berada di barisan hadapan kerana mereka merupakan antara tunjang utama kepada ekonomi negara.
“Saya mahu Mara bekerjasama dengan kerajaan ‘baharu’ Negeri Sembilan untuk mengenal pasti usahawan yang benar-benar berpotensi, membimbing mereka secara intensif serta memastikan mereka terus dibantu sehingga berjaya, bukannya dibiarkan separuh jalan.
“Kerajaan baharu Negeri Sembilan, insya-Allah, mestilah menjadi sebuah kerajaan yang mesra perniagaan. Mesti ada usaha bersungguh-sungguh membantu usahawan Bumiputera berjaya, bukan sekadar menembusi pasaran domestik, malah mampu berkembang ke peringkat antarabangsa. Itulah kerajaan baharu Negeri Sembilan yang kita harapkan.
“Hasrat saya adalah untuk melihat dalam tempoh lima tahun akan datang lebih ramai usahawan berkembang daripada peniaga kecil kepada pengilang dan daripada jenama tempatan kepada jenama yang dikenali di peringkat dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, semua potensi itu hanya mampu direalisasikan sekiranya Negeri Sembilan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju yang jelas, keberanian membuat keputusan serta keupayaan membawa negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Momentum pembangunan yang pernah dibina sebelum ini perlu digerakkan semula dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan oleh sebuah kerajaan yang lebih berwibawa,” katanya. – UTUSAN










