Johor keluarkan pensijilan halal dalam tempoh 30 hari

Johor keluarkan pensijilan halal dalam tempoh 30 hari

MOHD. Fared Mohd. Khalid (dua dari kiri) menyampaikan sijil halal kepada salah seorang pengusaha pada Perasmian Seminar Halal Johor :Perkongsian Negara Serantau 2025 sempena sambutan 100 tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor di Iskandar Puteri, Johor hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mahu proses permohonan sijil halal dipercepatkan daripada tiga bulan kepada 30 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, MAINJ akan menjadi fasilitator kepada jabatan yang berkaitan bagi melancarkan proses tersebut.

Katanya, inisiatif ini dapat menjimatkan masa serta kos yang terlibat setelah permohonan dibuat secara dalam talian yang memudahkan permohonan sijil halal diterima.

“Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 yang dirangka pada tahun ini telah berjalan dengan baik dan memberi impak apabila ada peningkatan jelas daripada segi permohonan sijil halal dan kecepatan proses itu.

“Kami difahamkan sebelum ini kaedahnya agak ketat dan menyusahkan. Jadi, kami kenal pasti, bukan sahaja dipermudahkan tapi juga kami menjadi jambatan menghubungi kepada jabatan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Seminar Halal Johor: Perkongsian Negara Serantau 2025 sempena sambutan 100 tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, peranan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 itu akan mencapai tahap maksimum pada tahun depan dengan kaedah lebih yang lebih sistematik dan pantas.

Katanya, ini bagi menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan tempoh memproses pensijilan halal itu dipendekkan kepada 15 hari bekerja sahaja.

Menurut Mohd. Fared, kerajaan negeri turut bercadang memberikan insentif RM3,000 secara sekali beri kepada kantin sekolah agama gred A dan gred B bagi memperkemas kelengkapan demi memenuhi piawaian halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN