PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu mempunyai kuasa autonomi dalam merangka sistem saraan termasuk gaji yang setimpal bukan sekadar menjalankan fungsi pelantikan.
Langkah memperluas peranan suruhanjaya itu penting bagi menangani kekurangan petugas kesihatan tanpa bergantung kepada kelulusan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr. RA Lingeshwaran berkata, suruhanjaya itu perlu mempunyai kuasa lebih besar dalam menentukan perjawatan supaya keperluan petugas kesihatan dapat dipenuhi mengikut keperluan sebenar perkhidmatan.
Katanya, penubuhan SPK tanpa kuasa autonomi sebenar berisiko membazirkan wang rakyat kerana hanya menambah lapisan birokrasi, selain gagal membawa perubahan substantif kepada sistem kesihatan negara.
“Kuasa autonomi itu penting kerana reformasi sistem kesihatan bukan hanya melibatkan perubahan dasar, tetapi turut memerlukan penempatan tenaga kerja yang bersesuaian bagi memastikan setiap pembaharuan dapat dilaksanakan.
“Penubuhan sebuah entiti separuh masak hanya akan menambah lapisan birokrasi baharu yang membuang masa dan wang rakyat tanpa membawa sebarang perubahan substantif di lapangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, suruhanjaya itu hanya berfungsi melantik, mengesahkan dan memasukkan anggota kesihatan ke dalam perjawatan tetap atau berpencen, selain mengurus kenaikan pangkat, pertukaran dan tatatertib.
Katanya, kuasa mewujudkan jawatan baharu dan menentukan sistem saraan kekal di bawah bidang kuasa JPA serta Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut, Lingeshwaran berkata, suruhanjaya justeru itu perlu mempunyai kuasa mewujudkan serta menempatkan jawatan khusus seperti pakar perubatan keluarga, petugas kesihatan komuniti dan jururawat kesihatan awam di klinik desa serta bandar bagi menyokong perkhidmatan.
Katanya, badan itu malah perlu mempunyai kuasa mewujudkan jawatan dan membangunkan kepakaran bagi memastikan transformasi sektor kesihatan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam aspek pembiayaan pula, katanya, perbelanjaan emolumen dan pengurusan tenaga kerja merangkumi sebahagian besar bajet operasi Kementerian Kesihatan dengan pengurusan perjawatan yang cekap penting bagi mengoptimumkan penggunaan dana awam.
Beliau turut memberi amaran kegagalan menyelesaikan isu beban kerja dan imbuhan secara menyeluruh boleh memburukkan penghijrahan doktor, pakar serta jururawat ke sektor swasta atau luar negara.
Menurutnya, SPK perlu mempunyai kuasa sebenar dalam aspek perjawatan dan pengurusan kewangan supaya ekosistem kesihatan dapat diurus berdasarkan kepakaran serta keperluan sektor itu sendiri, bukan sekadar terikat dengan birokrasi sedia ada.-UTUSAN











