PETALING JAYA: Tiga Ahli Dewan Negara termasuk seorang lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, hari ini.
Antara yang dilantik semula ialah pengasas Unit Amal Pas, Hussin Ismail dan ahli DAP, Dr Lingeshwaran RA. manakala Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Inayah Ya’akub merupakan lantikan baharu.
Lantikan Hussin yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkuat kuasa mulai 23 April 2026 hingga 22 April 2029 sementara Lingeshwaran dan Noor Inayah yang mewakili DUN Pulau Pinang masing-masing berkuat kuasa mulai 14 Mei 2026 hingga 13 Mei 2029.
Awang Bemee berkata, walaupun setiap ahli Dewan Negara datang daripada latar belakang, pengalaman dan negeri yang berbeza, para senator tetap berkongsi matlamat sama iaitu memperkukuh perpaduan negara serta memastikan suara rakyat terus diberi perhatian dalam proses penggubalan dasar dan perundangan.
Beliau berkata, Perkara 45 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Negara dianggotai oleh wakil-wakil yang dipilih oleh DUN untuk memastikan suara negeri-negeri diwakili dalam institusi legislatif tertinggi negara.
“Justeru, Dewan Negara bukan sahaja berperanan sebagai badan yang meneliti dan meluluskan rang undang-undang (RUU), malah menjadi medan perbahasan yang matang, berhemah dan konstruktif demi kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara,” katanya ketika Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Parlimen di sini hari ini.
Awang Bemee berkata, rakyat menaruh harapan tinggi agar institusi Parlimen terus memainkan peranan secara berkesan dalam meneliti dasar-dasar kerajaan, di sebalik landskap geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks serta tidak menentu.
“Sehubungan itu, saya berharap yang berhormat senator sekalian akan terus memanfaatkan pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan masing-masing melalui penyertaan aktif dalam sesi perbahasan, pengemukaan soalan-soalan yang berkualiti.
“Serta penglibatan yang berkesan dalam Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Dewan Negara demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya.
Tambahnya, Mesyuarat Kedua Dewan Negara bagi Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 2026 akan berlangsung dari 20 Julai hingga 4 Ogos ini. – UTUSAN










