PARLIMEN: Ahmad Ibrahim angkat sumpah Ahli Dewan Negara

PARLIMEN: Ahmad Ibrahim angkat sumpah Ahli Dewan Negara

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah di Bangunan Parlimen hari ini.

Pelantikan beliau merupakan lantikan semula bagi penggal kedua oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk tempoh bermula hari ini hingga 22 Julai 2028.

Ahmad berkata, beliau menerima amanah daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus melaksanakan tanggungjawab terbaik dalam melindungi kepentingan Sarawak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Premier turut berpesan supaya saya meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta terus memberikan sokongan penuh kepada beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah.

Ahmad menyifatkan lantikan semula ini sebagai mandat dan kepercayaan rakyat Sarawak untuk beliau terus memperjuangkan hak serta keistimewaan negeri itu berpaksikan Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, antara fokus utama beliau dalam penggal ini termasuk memperkukuh pengiktirafan terhadap Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 sebagai undang-undang sah di Sarawak.

“Saya juga akan terus menyokong peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai entiti strategik milik rakyat Sarawak serta memperjuangkan dasar pembangunan yang lebih inklusif dan adil antara wilayah agar tiada negeri yang tercicir,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Ahmad dipilih semula sebagai senator selepas tiada calon lain dikemukakan ketika Persidangan DUN Sarawak.

Pencalonan beliau dikemukakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan disokong oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Ahmad merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak tahun 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Penerangan Ranting Kampung Paya Mebi (2009 hingga 2016). 

Beliau kini menjawat Pengerusi Cawangan PBB Batu Kawa sejak 2009 dan terus diberi kepercayaan memegang jawatan itu sehingga kini.

Selain itu, beliau juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak dipilih semasa Perhimpunan Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB pada 2018 dan 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×