BESUT: Pengalaman terpaksa menanggung rugi dan kos yang tinggi akibat tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) yang tidak sesuai diusahakan pada musim tengkujuh mendorong sepasang suami isteri beralih kepada tanaman sayur-sayuran sebagai alternatif menjana pendapatan.
Rohana Alias, 46, bersama suaminya, Mohd. Ruwaidi Awang, 47, dari Kampung Alor Lintang, mengambil pendekatan menanam beberapa jenis sayuran termasuk peria katak, peria kambas, labu air dan sawi bagi mengisi tempoh ketika pengeluaran MMT yang dihentikan pada penghujung tahun.
Menurut Rohana, tanaman melon yang diusahakan sejak 2006 memerlukan cuaca panas dan cahaya matahari mencukupi untuk menghasilkan buah berkualiti.
“Keadaan cuaca tidak menentu ketika musim tengkujuh, khususnya hujan berpanjangan dan perubahan suhu mendadak, menyebabkan pertumbuhan pokok melon terbantut selain menjejaskan kualiti buah.
“Kalau diteruskan juga, kos penjagaan agak tinggi sedangkan hasil tidak seperti diharapkan. Kita pernah mengalami kerugian apabila pokok melon tidak menjadi dengan baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya daripada menanggung risiko kerugian, mereka memilih untuk beralih kepada tanaman sayur yang lebih sesuai diusahakan pada musim hujan.
Rohana berkata, tanaman sayur yang mula diusahakan sekitar Oktober itu mampu mengeluarkan hasil seawal November, sekali gus memberi pulangan dalam tempoh singkat.
Ujarnya, peria dan labu air boleh dituai selepas 35 hingga 40 hari, manakala sawi hanya memerlukan kira-kira 30 hari sebelum boleh dipasarkan.
Menurutnya, permintaan terhadap sayur-sayuran turut meningkat pada penghujung tahun, terutama ketika musim banjir apabila bekalan daripada pengusaha lain berkurangan.
“Permintaan sayur datang daripada pemborong sekitar Terengganu dan Kelantan. Ketika musim panas, ramai yang menanam sayur, tetapi apabila tiba musim tengkujuh, pengeluaran biasanya berkurangan.
“Keadaan itu membuka peluang kepada kami untuk terus membekalkan sayur kepada pasaran,” katanya. – UTUSAN











