KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki hukuman penjara kes penyelewengan SRC International di rumah berkuatkuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu mengetepikan perintah mahkamah sebelum ini yang menangguhkan kebenaran tahanan di rumah itu ekoran kekeliruan istilah ‘dilepaskan serta-merta’ dalam perintah terdahulu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengetepikan perintah mahkamah pada 6 November lalu dan mengeluarkan perintah baharu membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Perintah baharu itu bagi memperjelaskan pelaksanaan hukuman berkenaan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diterima bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Kekeliruan berkenaan menyebabkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib yang sepatutnya bermula selepas beliau membayar denda RM50 juta ditangguhkan sementara.
Ini ekoran Jabatan Peguam Negara mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung persoalan perundangan berkaitan tafsiran perintah berkenaan.
Terdahulu, Hakim Aslam membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Najib dan pihak pendakwaan berhubung permohonan Jabatan Peguam Negara berkaitan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan selepas pembayaran denda RM50 juta.
“Yang pertama sekali, perintah pelepasan atas pembayaran denda ‘which is an order of discharge on payment of fine’ bertarikh 6 November 2026 dengan ini dibatalkan dan digantikan sepenuhnya dengan perintah ini.
“Yang kedua selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” katanya dalam penghakiman ringkas.
Pada minggu lalu, Najib sepatutnya menjalani baki tempoh hukuman penjara di kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas membayar denda RM50 juta berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara memaklumkan, penangguhan pelaksanaan hukuman tahanan di rumah diambil susulan timbul persoalan perundangan berhubung maksud ayat perintah pelepasan atas pembayaran denda dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.
Dalam pada itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak semula perintah pelepasan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Beliau berkata, permohonan itu bertujuan mendapatkan suatu perintah pelepasan baharu supaya ia selaras dengan perintah pengampunan yang diberikan oleh di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
“Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengkaji semula dan meneliti kembali perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
“Permohonan tersebut untuk suatu perintah pelepasan yang baharu supaya selaras dengan perintah pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2026,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Serentak keputusan itu, Anthony Loke mengumumkan meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan kuasa serta-merta.
Loke berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.
“Ini selaras dengan pendirian diumumkan pada Jumaat lalu, iaitu peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan.
“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang saya jelaskan sebelum ini,” katanya.
Pada Jumaat lalu, UMNO mengesahkan denda RM50 juta dikenakan ke atas Najib sudah dibayar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan tahanan rumah mengikut syarat pengampunan bersyarat yang diterima bekas Presiden UMNO itu.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan selepas Jabatan Peguam Negara mengumumkan mahu membuat penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan selepas pembayaran denda berkenaan.
Istana Negara pula, menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat yang diperintahkan ke atas Najib disifatkan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jumlah RM50 juta tersebut adalah syarat diletakkan oleh Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pada 18 September itu bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.-UTUSAN











