Tiada perubahan barisan Kabinet masa terdekat

Tiada perubahan barisan Kabinet masa terdekat

ANWAR Ibrahim merasmikan Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada perubahan dalam barisan Kabinet pada waktu terdekat memandangkan belum ada perkembangan baharu berhubung kedudukan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah masih terlalu awal untuk melihat atau membincangkan kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet ketika ini.

Beliau dalam masa yang sama tidak mengetahui apa-apa berkenaan desas desus perubahan yang melibatkan beberapa jawatan menteri sebelum ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Awal lagi saya tak tahu mengenai rombakan Kabinet, “ katanya ditemui pemberita ketika Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam. 

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Perpaduan dijangka melakukan perubahan dalam barisan Kabinet dijangka dalam masa terdekat ekoran kemungkinan berlaku dua kekosongan. 

Bagaimanapun perubahan itu difahamkan tidak membabitkan menteri UMNO dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya menggantikan wakil DAP serta seorang lagi anggota pentadbiran bertaraf Senator. 

Perkembangan itu membabitkan kedudukan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan yang mahu meletak jawatan susulan keputusan DAP menolak pengampunan bersyarat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. 

Selain itu, Amir Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara berakhir Disember ini dan perkhidmatannya perlu disambung jika mahu beliau terus kekal berada dalam Kabinet. 

Ditanya mengenai tempoh perkhidmatan Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang berakhir pada 11 Disember ini, Anwar berkata, beliau juga belum dimaklumkan sebarang berita berhubung perkara berkenaan. 

“Yakah (tempoh tamat pelantikan Amir Hamzah)? Beliau (Amir Hamzah) belum beritahu apa-apa, “ katanya.

Tempoh pelantikan Amir Hamzah sebagai Senator akan berakhir pada 11 Disember ini, selepas dilantik untuk tempoh tiga tahun bermula 12 Disember 2023.

Perkara 45(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun.

Bagaimanapun, Amir Hamzah masih boleh dipertimbangkan untuk pelantikan semula bagi satu penggal lagi, tertakluk kepada proses pelantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan itu memberi satu lagi pertimbangan kepada Anwar menjelang Disember, sama ada mengekalkan Amir Hamzah melalui pelantikan semula atau membuat perubahan pada portfolio berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini