Lima maut, tiga hilang tragedi kepala air Sungai Pertak

Lima maut, tiga hilang tragedi kepala air Sungai Pertak

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengusung mayat salah seorang mangsa tragedi kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Aktiviti perkelahan 34 pengunjung air terjun Sungai Pertak bertukar tragedi dalam sekelip mata apabila kepala air setinggi lima meter melanda secara tiba-tiba meskipun cuaca ketika itu cerah dan tiada tanda hujan.

Arus deras dan ombak air datang secara mengejut menghanyutkan beberapa pengunjung yang sedang mandi-manda di sungai berkenaan dan mengakibatkan lima orang maut manakala tiga lagi masih hilang setakat ini.

Mereka terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh lagi warga asing daripada tiga kumpulan berbeza yang berada di kawasan perkelahan Lata Jebus, Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak bersempena cuti umum Deepavali kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejadian kepala air yang berlaku pada pukul 5.30 petang kelmarin itu mengakibatkan lapan mangsa hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika beriadah di kawasan berkenaan. 

Seorang mangsa terselamat dikenali Muhammad, 19, berkata, keadaan sungai ketika itu kelihatan tenang dan cuaca juga baik sebelum arus deras tiba-tiba melanda kawasan berkenaan tanpa sebarang tanda.

Katanya, mereka tidak menyangka keadaan boleh berubah begitu pantas apabila arus deras tiba-tiba menerjah kawasan sungai sebelum menghanyutkan rakan-rakannya.

“Ketika kejadian, cuaca baik dan tiada hujan. Malah, langsung tiada tanda-tanda kepala air akan berlaku.

“Tiba-tiba arus deras datang dan menghanyutkan mereka. Dua daripada rakan kami berjaya menyelamatkan diri namun seorang lagi masih hilang dan belum diketahui statusnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin, lapan individu terdiri daripada seorang warga tempatan manakala selebihnya seorang warga Yaman, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.

Selain itu, 26 individu daripada beberapa kumpulan yang melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian turut terkandas di sekitar kawasan sungai berkenaan sebelum berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.

Sebahagian warga asing terlibat merupakan penuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPT) yang hadir beriadah di kawasan tersebut bersempena cuti umum.

Seorang rakan mangsa dikenali Ali, 19, berkata, dia tidak menyangka kunjungan ke Sungai Pertak itu bertujuan meluangkan masa bersama rakan-rakannya sempena cuti umum Deepavali sebelum aktiviti riadah mereka berakhir dengan tragedi.

Katanya, mereka tiba di kawasan sungai berkenaan dalam satu kumpulan terdiri daripada enam individu sebelum tiga daripada mereka mengambil keputusan untuk turun ke tebing bagi mandi-manda.

Menurutnya, aktiviti berkenaan pada mulanya berjalan seperti biasa tanpa sebarang kejadian luar biasa, malah keadaan persekitaran tidak menunjukkan tanda cuaca buruk.

Bagaimanapun, keadaan berubah secara mendadak apabila arus deras melanda kawasan berkenaan sehingga menyebabkan beberapa rakannya dihanyutkan dan mencetuskan detik cemas kepada mereka yang berada di lokasi.

“Dua daripada rakan kami berjaya menyelamatkan diri namun seorang lagi masih hilang dan belum diketahui statusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kejadian kepala air itu berlaku ketika 34 pengunjung daripada empat kumpulan yang sedang berkelah di lokasi berbeza di Sungai Pertak.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, kumpulan pertama terdiri daripada lima individu termasuk seorang warga Yaman, Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20, yang dihanyutkan arus, manakala empat lagi berjaya menyelamatkan diri.

“Kedua pula membabitkan 14 individu dan daripada jumlah itu, tiga berjaya menyelamatkan diri, empat diselamatkan anggota bomba di lokasi kejadian manakala tujuh lagi dilaporkan dihanyutkan arus,” katanya.

Menurutnya, kesemua tujuh individu dalam kumpulan ketiga berjaya diselamatkan anggota bomba di lokasi kejadian.

Kumpulan keempat yang terdiri daripada lapan individu turut berjaya diselamatkan.

“Secara keseluruhan, seramai 19 mangsa berjaya diselamatkan pihak bomba, manakala lapan lagi dilaporkan dihanyutkan arus,” katanya.

Beliau berkata, operasi berdepan cabaran berikutan keadaan arus yang deras dan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam untuk surut sebelum pencarian di permukaan air dapat dijalankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini