Jangan seleweng dana Islam untuk kepentingan peribadi

Jangan seleweng dana Islam untuk kepentingan peribadi

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa apabila dana umat Islam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepenti­ngan agama disalahgunakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan peribadi.

Baginda bertitah, terdapat ba­nyak pihak yang membuat kutipan dan menguruskan harta umat Islam termasuk kutipan infak, sumbangan dan fidyah, namun sebahagian besarnya tidak dilantik oleh pihak berkuasa se­perti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan majlis agama Islam negeri-negeri.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kewujudan syarikat, institusi perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip dana Islam bagi kepentingan peribadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beta amat sedih kerana terdapat sebahagian daripada pihak-pihak itu terlibat dalam penyelewengan dana awam yang dikutip dan menggunakan dana itu bagi tujuan kepentingan peribadi. Perkara ini amat memalukan dan sangat merugikan umat Islam.

“Beta ingin menegaskan di Malaysia, majlis agama Islam negeri-negeri adalah badan berautoriti dan pemegang amanah tunggal bagi baitulmal di negeri masing-masing. Perkara itu dinyatakan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam setiap negeri. Ia juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” titah baginda sempena penganjuran Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 di sini semalam.

Terdahulu, Raja Muda Sela­ngor, Tengku Amir Shah berkenan melafazkan perasmian konven­syen tersebut yang turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin serta delegasi baitulmal dari negara ini, Brunei, Indonesia, Si­ngapura dan Thailand.

Sultan Selangor menambah, baitulmal merupakan institusi perbendaharaan bagi umat Islam yang dilaksanakan sejak zaman Nabi Muhammad SAW yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan harta bagi memenuhi keperluan kebajikan masyarakat serta membiayai urusan pentadbiran negara Islam.

Sultan Sharafuddin juga menegaskan, Islam sangat memen­tingkan amanah termasuk pengurusan harta umat Islam pada masa ini dan ia mesti diletakkan kepada institusi yang mempunyai kuasa dan kepakaran.

“Oleh itu, masyarakat Islam hendaklah memastikan setiap dana umat Islam disalurkan kepada pihak berkuasa iaitu MAIS atau majlis agama Islam negeri-negeri atau pihak yang mendapat kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa.

“Sebagai pemegang amanah (pula), mereka (khususnya MAIS) perlu memastikan pengurusan harta oleh baitulmal dilaksanakan secara telus, cekap dan profesional serta mematuhi hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tadbir urus baitulmal mestilah sentiasa berada pada tahap tertinggi. Dana umat Islam hendaklah diurus, diagihkan, dikembangkan dan dimanfaatkan bagi menjaga maslahah dan kepen­tingan umat Islam,” jelas baginda.

Dalam pada itu, baginda juga mengingatkan baitulmal supaya menjadi institusi yang dapat membangunkan kekayaan umat Islam dan tidak berperanan sebagai institusi yang mengutip harta umat sahaja.

“Kerjasama strategik dengan rakan korporat seperti institusi perbankan dan kewangan Islam serta syarikat pengurusan kehartaan Islam perlu dipertingkatkan. Ia akan membolehkan MAIS dan majlis agama Islam negeri-negeri meningkatkan nilai aset baitulmal termasuklah membangunkan aset komersial berimpak tinggi yang mampu menjana pulangan untuk ummah,” titah baginda.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini