Setengah juta rakyat Gaza terputus bantuan makanan - Utusan Malaysia

Setengah juta rakyat Gaza terputus bantuan makanan

SEORANG wanita Palestin mencari barangan di sebuah kediaman yang musnah di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 500,000 penduduk Gaza kini kehilangan akses kepada bantuan makanan ketika wilayah itu masih berdepan kesan banjir susulan ribut musim sejuk pertama yang melanda baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, kekurangan pembiayaan memaksa Program Makanan Sedunia (WFP) mengurangkan bantuan sekitar satu pertiga ketika keperluan penduduk semakin mendesak akibat musim sejuk dan hujan lebat.

Menurutnya, laporan WFP pada Oktober lalu menunjukkan kira-kira 1.4 juta penduduk Gaza atau 67 peratus daripada populasi berdepan krisis kekurangan makanan pada tahap serius atau lebih buruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada jumlah itu, kira-kira 200,000 penduduk berada dalam kategori kecemasan makanan atau Fasa 4 Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), iaitu keadaan yang boleh membawa risiko kematian tanpa bantuan segera.”

“Lebih membimbangkan, kekurangan pembiayaan menyebabkan WFP terpaksa me­ngurangkan bantuan makanan sekitar satu pertiga sehingga kira-kira 500,000 penduduk kehilangan akses kepada bantuan penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, sekatan Israel terhadap kemasukan bekalan khemah, bahan binaan dan keperluan asas memburukkan penderitaan penduduk Palestin yang kini berdepan banjir susulan ribut musim sejuk pertama melanda Gaza.

Pertubuhan bantuan kemanusiaan, Save the Children berkata, sekatan berterusan itu menyebabkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal tidak mampu menyediakan perlin­dungan lebih selamat, sekali gus mendedahkan mereka kepada cuaca sejuk dan hujan lebat.

Selain itu, Muhd. Haikal berkata, keadaan itu menjadi lebih buruk apabila hujan lebat sejak 6 November turut memusnahkan lebih 6,000 tempat perlindungan keluarga dan me­rosakkan 17,400 tempat perlin­dungan keluarga yang lain.

Katanya, lebih 3,900 keluarga dilaporkan tidak mempunyai tempat berlindung manakala lebih 20,000 keluarga di 222 tapak penempatan memerlukan bantuan segera.

“Menurut laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), kira-kira 1.4 juta penduduk Gaza bergantung kepada khemah atau tempat perlindungan sementara ketika berdepan hujan, angin kencang dan suhu sejuk.

“Keadaan menjadi lebih berbahaya apabila air hujan bercampur dengan air kumbahan akibat sistem saliran yang rosak sehingga meningkatkan risiko cirit-birit, jangkitan kulit, pe­nyakit pernafasan dan hipotermia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini