Bakteria kebal dalam makanan: Apa yang perlu kita tahu? - Utusan Malaysia

Bakteria kebal dalam makanan: Apa yang perlu kita tahu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerintangan antimikrob atau Antimicrobial Resistance (AMR) berlaku apabila mikroorganisma seperti bakteria, virus, kulat dan parasit mengalami perubahan yang membolehkannya menjadi rintang terhadap ubat antimikrob yang digunakan untuk merawat jangkitan. Dalam konteks bakteria, keadaan ini dikenali sebagai kerintangan antibiotik, iaitu apabila bakteria mampu terus hidup dan membiak walaupun terdedah kepada antibiotik tertentu. Keadaan ini sering disebut sebagai “bakteria kebal antibiotik”.

Tahukah anda bahawa ancaman AMR bukan hanya berkaitan dengan rawatan di hospital atau penggunaan antibiotik dalam kalangan manusia? Makanan yang tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat bukan sahaja boleh menyebabkan keracunan makanan, malah berisiko menjadi laluan penyebaran bakteria kebal antibiotik kepada manusia. Sekiranya jangkitan berlaku, rawatan mungkin menjadi lebih sukar dan memerlukan penggunaan antibiotik alternatif.

Bagaimana Bakteria Kebal Boleh Tersebar Melalui Makanan?

Memuatkan artikel berkaitan…

Masalah ini boleh bermula apabila antibiotik digunakan secara berlebihan atau tidak terkawal dalam penternakan dan pertanian. Keadaan ini menyebabkan bakteria yang kebal terhadap antibiotik terus hidup dan membiak dalam haiwan ternakan. Bakteria kebal ini kemudiannya boleh mencemari daging, susu, telur serta hasil tanaman melalui air atau persekitaran yang tercemar.

Bakteria kebal boleh sampai kepada manusia melalui makanan yang tercemar, terutamanya jika makanan tidak dibasuh, dikendalikan secara bersih atau dimasak dengan sempurna. Pencemaran silang juga boleh berlaku apabila bakteria daripada daging mentah berpindah ke makanan lain melalui tangan, pisau atau papan pemotong yang tidak dibersihkan.

Justeru, keselamatan makanan bukan sekadar memastikan makanan kelihatan bersih atau rasanya sedap. Cara makanan dikendalikan dari dapur hingga ke meja makan turut memainkan peranan dalam mengurangkan risiko penyebaran bakteria, termasuk bakteria kebal.

Panduan Praktikal: 5 Kunci Keselamatan Makanan

Bagi membendung penularan bakteria kebal daripada mencemari hidangan harian, amalan pencegahan di premis penyediaan makanan dan di rumah merupakan benteng pertahanan utama. Berikut adalah 5 Kunci Keselamatan Makanan yang digariskan untuk dipraktikkan oleh setiap pengendali makanan dan pengguna:

Pertama, jaga kebersihan. Basuh tangan sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan, serta selepas mengendalikan makanan mentah. Pastikan peralatan dan permukaan penyediaan makanan sentiasa bersih.

Kedua, asingkan makanan mentah daripada makanan yang telah dimasak. Gunakan peralatan yang bersih dan elakkan menggunakan pisau atau papan pemotong yang sama tanpa dicuci terlebih dahulu.

Ketiga, masak makanan dengan sempurna. Makanan seperti ayam, daging, telur dan makanan laut perlu dimasak dengan sempurna bagi membantu memusnahkan mikroorganisma yang boleh menyebabkan penyakit.

Keempat, simpan makanan pada suhu yang selamat. Jangan biarkan makanan yang telah dimasak terlalu lama pada suhu bilik. Penyimpanan yang betul membantu mengawal pembiakan mikroorganisma.

Kelima, gunakan air dan bahan mentah yang selamat. Pilih bahan mentah yang bersih dan sesuai untuk dimakan serta gunakan air yang bersih ketika menyediakan makanan.

Lima Kunci Keselamatan Makanan ini bukanlah kaedah khusus untuk mengesan bakteria rintang antimikrob. Namun, amalan tersebut membantu mengurangkan pencemaran, pencemaran silang dan risiko jangkitan bawaan makanan. Secara tidak langsung, langkah mudah ini menyokong usaha yang lebih luas untuk mengurangkan peluang penyebaran bakteria rintang melalui makanan.

Inisiatif Global: World AMR Awareness Week 2026

Sebagai langkah memperkasakan kesedaran masyarakat antarabangsa terhadap krisis ini, pergerakan antarabangsa terus dipergiat menerusi penganjuran World AMR Awareness Week 2026 (Minggu Kesedaran AMR Sedunia 2026) yang berlangsung pada 18 hingga 24 November 2026.

Kempen kesedaran peringkat global ini membawa tema rasmi: “One Health, one action: Prevent AMR now”

Menerusi tema ini, penekanan khusus diberikan kepada pendekatan holistik One Health, yang menghubungkan tiga sektor utama: kesihatan manusia, kesihatan haiwan ternakan, dan kelestarian persekitaran. Pakar sains mengesahkan bahawa masalah kerintangan ubat tidak boleh diselesaikan secara berasingan. Pembuangan sisa pertanian ke dalam sungai, penggunaan antibiotik secara berlebihan dalam sektor penternakan, serta kegagalan kebersihan dalam penyediaan makanan di rumah semuanya saling berkait. Oleh itu, tindakan bersepadu merentasi ketiga-tiga domain ini adalah kunci utama untuk menyekat ancaman AMR secara berkesan.

Usaha Malaysia Menangani AMR Melalui Pendekatan One Health

Di Malaysia, usaha menangani kerintangan antimikrob (AMR) dilaksanakan melalui Malaysian Action Plan on Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2022–2026 yang melibatkan kerjasama pelbagai sektor merangkumi kesihatan manusia, kesihatan haiwan, pertanian, keselamatan makanan dan alam sekitar melalui pendekatan One Health.

Dalam konteks keselamatan makanan, sumbangan sektor makanan merangkumi pencegahan pencemaran makanan melalui pelaksanaan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya dan penyelidikan bagi mengesan bakteria rintang antimikrob dalam rantaian makanan, Selain itu, pendidikan dan promosi keselamatan makanan kepada pengusaha makanan serta masyarakat turut diperkukuh bagi menggalakkan amalan pengendalian makanan yang bersih dan selamat, sekali gus membantu mencegah penyebaran bakteria kebal melalui makanan.

Peranan Bersama Membendung AMR

Menangani ancaman bakteria kebal dalam makanan memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh lapisan masyarakat. Bermula daripada pengeluar bahan mentah di ladang, pengendali premis perniagaan makanan, hinggalah pengguna di kediaman masing-masing, setiap individu memegang tanggungjawab penting dalam memastikan rantaian makanan sentiasa selamat.

Dengan mengamalkan 5 Kunci Keselamatan Makanan, mengaplikasikan konsep “Lihat, Hidu dan Rasa” serta menyokong pendekatan One Health, setiap individu dapat memainkan peranan dalam memastikan makanan yang disediakan dan dimakan sentiasa selamat. Amalan ini bukan sahaja membantu melindungi keluarga daripada penyakit bawaan makanan, malah turut menyumbang kepada usaha mencegah penyebaran bakteria rintang antimikrob (AMR) demi kesihatan dan kesejahteraan bersama.

One Health, one action. Mencegah AMR bermula dengan tindakan kita hari ini.

Penulis ialah Pegawai Teknologi Makanan

Program Keselamatan dan Kualiti Makanan

Kementerian Kesihatan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini