KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengalihkan wang RM1.1 juta milik seorang pesara ke dalam akaun bank miliknya, lapan tahun lalu.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Chin Chew Woon, 43, selepas wanita itu mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkannya dipenjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengalihkan wang berjumlah RM500,000 dan RM600,000 milik seorang lelaki berusia 66 tahun ke dalam akaun bank miliknya, di sebuah bank di Brickfields, di sini, pada 26 dan 27 Disember 2018.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang simpanannya berjumlah RM1.1 juta ke dalam akaun tertuduh bagi tujuan siasatan sebelum menyedari ditipu selepas gagal menghubungi semula individu terbabit.
Hasil siasatan mendapati tertuduh merupakan pemilik akaun berkenaan dan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung transaksi tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan hukuman berbentuk pencegahan mengambil kira faktor kerugian besar yang dialami mangsa serta trend kekerapan bagi kes penipuan.
”Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.
Chew Woon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak bekerja selain perlu menanggung dua anak serta ibu dan ibu mentuanya yang sakit. – UTUSAN











