Minyak masak peket dijual sebagai minyak terpakai

Minyak masak peket dijual sebagai minyak terpakai

MOHD. Hazimin Jamaludin (kanan) menunjukkan minyak peket bersubsidi yang dirampas dalam sidang akhbar di Krubong, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Minyak masak peket bersubsidi dijual kepada pengumpul minyak masak terpakai untuk meraih untung atas angin RM1.50 hingga RM2 bagi setiap kilogram.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu modus operandi sindiket yang menjadikan sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini sebagai pusat pengumpulan sebelum dijual ke pasaran komersial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi tadi, dua lelaki berusia 45 dan 53 tahun ditahan selain merampas kira-kira 425 kilogram minyak masak bernilai RM1,062.50.

Menurutnya, lokasi itu bukan sahaja menyimpan minyak masak peket bersubsidi, malah terdapat tong, kotak dan minyak masak terpakai yang dipercayai dicampurkan sebelum dikomersialkan kepada pihak ketiga.

“Ini kali pertama kita mengesan modus operandi sebegini apabila rumah penduduk di taman perumahan dijadikan pusat pengumpulan minyak masak bersubsidi.

“Kalau sebelum ini kita kesan di kilang, stor haram atau premis yang tidak digazetkan, kali ini mereka menggunakan rumah biasa yang dari luar kelihatan seperti rumah kediaman tetapi menjadi tempat simpanan,” katanya dalam sidang akhbar di Krubong hari ini.

Mohd. Hazimin berkata, seorang daripada suspek merupakan pemilik kedai runcit yang mempunyai lesen untuk menjual minyak masak peket bersubsidi manakala seorang lagi bekerja sebagai pengumpul minyak masak terpakai.

“Suspek yang mempunyai kedai runcit itu dipercayai mengambil minyak masak bersubsidi yang sepatutnya dijual kepada rakyat tetapi membawanya ke premis lain.

“Minyak berkenaan kemudian dijual kepada rakannya yang mengumpul minyak masak terpakai sebelum dibawa ke pihak ketiga untuk pasaran komersial,” katanya.

Beliau berkata, minyak masak peket bersubsidi yang diperoleh pada harga RM2.50 sekilogram boleh dijual sekitar RM4 sekilogram.

“Kalau hari-hari mereka melakukan kegiatan ini dengan nilai sekitar RM1,000 yang dirampas hari ini, mereka boleh mendapat keuntungan sehingga RM30,000 sebulan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini