PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang menjalankan siasatan berhubung aduan mengenai dakwaan aktiviti mencampurkan minyak masak import dengan bekalan tempatan sebelum produk berkenaan dilabel semula untuk dieksport sebagai produk Malaysia.
MPOB berkata, pihaknya telah menerima aduan rasmi berhubung perkara itu dan kini sedang meneliti kesahihan dakwaan berkenaan, termasuk kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan atau syarat pelesenan di bawah bidang kuasanya.
Katanya, siasatan melibatkan penelitian rekod dan dokumen berkaitan, termasuk data import, pemprosesan, penyimpanan serta eksport minyak sawit oleh pihak terbabit.
“Semakan silang turut dilakukan terhadap rekod aktiviti pencampuran atau blending dan dokumen penghantaran bagi mengenal pasti sebarang ketidakselarasan atau percanggahan maklumat.
“MPOB menjelaskan aktiviti pencampuran minyak sawit dan produk berasaskan sawit merupakan sebahagian daripada proses pemprosesan dalam industri, namun ia tertakluk kepada pematuhan syarat lesen, standard kualiti serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, perbuatan memberikan maklumat tidak benar atau mengelirukan berhubung negara asal sesuatu produk merupakan perkara serius yang perlu ditangani,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MPOB, penentuan negara asal produk eksport perlu mematuhi peraturan tempasal (Rules of Origin) yang terpakai, termasuk kriteria khusus produk di bawah perjanjian perdagangan berkaitan.
Dalam konteks itu, Sijil Tempasal Keutamaan (Preferential Certificate of Origin(PCO) dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi membolehkan pengeksport menikmati kemudahan pengurangan atau pengecualian tarif di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA), tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Sementara itu, Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (Non-Preferential Certificate of Origin (NPCO) lazimnya dikeluarkan oleh dewan perniagaan atau persatuan perdagangan yang dilantik MITI.
Bagaimanapun, bagi eksport ke Amerika Syarikat, pengeluaran NPCO diambil alih sepenuhnya oleh MITI berkuat kuasa 6 Mei 2025,” katanya.
MPOB berkata, penentuan negara asal perlu dibuat berdasarkan kriteria tempasal yang ditetapkan bagi produk dan destinasi eksport berkenaan.
Memandangkan isu itu turut membabitkan aspek pengisytiharan kastam, perdagangan antarabangsa dan dokumentasi penghantaran, MPOB kini bekerjasama dengan MITI serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan perkara berkenaan diteliti mengikut bidang kuasa masing-masing.
Dalam pada itu, MPOB memandang serius sebarang dakwaan salah laku yang berpotensi menjejaskan integriti, kebolehkesanan dan reputasi industri sawit negara.
Agensi itu menegaskan sekiranya siasatan menemukan bukti pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan di bawah bidang kuasanya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) serta peraturan berkaitan.
“Siasatan akan dilaksanakan secara teliti, profesional dan berasaskan bukti, manakala sebarang kesimpulan atau tindakan hanya akan dibuat selepas semua fakta serta maklumat berkaitan diteliti tanpa sebarang andaian atau prejudis terhadap mana-mana pihak,” katanya.
MPOB menegaskan untuk memastikan pematuhan peraturan, ketelusan urus niaga dan integriti rantaian bekalan bagi melindungi kepentingan industri sawit Malaysia serta mengekalkan keyakinan pengguna, pengimport dan rakan dagang antarabangsa. – UTUSAN











