WASHINGTON: Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi mencalonkan Hakeem Jeffries sebagai Speaker, sekali gus membuka laluan untuk beliau menjadi anggota kulit hitam pertama yang menerajui dewan berkenaan.
Dewan Perwakilan akan memilih Speaker baharu pada 3 Januari, apabila penggal baharu bermula dan Demokrat mengambil alih kedudukan majoriti.
Jeffries dijangka memenangi jawatan berpengaruh itu yang meletakkan Speaker sebagai individu ketiga dalam barisan penggantian Presiden, selepas Naib Presiden.
Jika dipilih, beliau akan mengetuai Demokrat dengan majoriti terbesar di Dewan Perwakilan dalam tempoh beberapa tahun, selain mendapat sokongan apabila Demokrat turut menguasai Senat.
Selepas undian, Jeffries memberitahu pemberita bahawa pencalonan itu adalah satu penghormatan besar dan keistimewaan yang tidak ternilai.
Sehingga Rabu, Demokrat dijangka menguasai sekurang-kurangnya 257 kerusi di Dewan Perwakilan tahun depan, jauh melepasi 218 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti.
Keputusan bagi tujuh kerusi dalam pilihan raya pertengahan penggal baru-baru ini masih belum dimuktamadkan.
Jeffries, yang mewakili sebuah kawasan pilihan raya di New York, dipilih semula sebagai ketua parti menerusi undian tertutup dengan keputusan 251 menyokong dan 11 menentang pada Rabu. Beliau menyandang jawatan ketua minoriti sejak 2023.
Kaukus Kulit Hitam Kongres, yang ketika ini dianggotai hanya oleh anggota Demokrat di Dewan Perwakilan, menyifatkan pelantikan Jeffries kelak sebagai detik bersejarah.
“Rakyat Amerika, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan jumlah keluar mengundi dalam kalangan masyarakat kulit hitam, khususnya di wilayah selatan, telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk memastikan Washington berfungsi demi kepentingan mereka.
“Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk melakukan segala yang termampu bagi memenuhi kepercayaan itu,” kata pengerusinya, Yvette Clarke, dalam satu kenyataan.
Walaupun undian pada Rabu menunjukkan sokongan besar terhadap Jeffries, beliau masih berdepan tentangan daripada beberapa anggota baharu parti daripada sayap kiri yang berpendapat kemenangan besar Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal mencerminkan keinginan pengundi untuk perubahan.
“Walaupun terdapat kemajuan bermakna, masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan hala tuju parti dalam Kongres akan datang mencerminkan tuntutan rakyat terhadap kepimpinan kami,” menurut kenyataan tujuh anggota baharu parti, termasuk Darializa Avila Chevalier dan Claire Valdez dari New York.
Semua anggota Demokrat di Kongres kini bersiap sedia menghadapi pertentangan dengan Rumah Putih sebaik sahaja mereka secara rasmi mengambil alih kuasa pada Januari.
Presiden, Donald Trump daripada Parti Republikan memberi isyarat kesediaan untuk bekerjasama dengan Demokrat dalam beberapa isu, namun turut berikrar menggunakan kuasa veto bagi menolak undang-undang yang tidak dipersetujuinya.
Tentangan Trump boleh menyukarkan Demokrat melaksanakan janji kempen mereka, termasuk menangani peningkatan kos sara hidup dan meluluskan pembaharuan lain.
Dalam sidang media selepas undian pada Rabu, Jeffries berikrar Demokrat di Dewan Perwakilan akan berjuang menurunkan harga barangan dapur, petrol dan perumahan yang tinggi, selain memastikan penjagaan kesihatan mampu dinikmati setiap rakyat AS.
Walaupun parti itu mempunyai majoriti yang cukup besar untuk mengatasi tentangan beberapa anggota sendiri dalam pengundian rang undang-undang penting, Jeffries tetap perlu menangani perbezaan ideologi dalaman yang semakin ketara, khususnya berhubung sokongan AS terhadap Israel dan peningkatan kos penjagaan kesihatan rakyat.
Ramai anggota baharu Demokrat, termasuk anggota Democratic Socialists of America, memenangi pilihan raya dengan mencabar kepimpinan tradisional parti itu.
Kaukus Progresif Kongres yang mewakili sayap kiri parti turut mengucapkan tahniah kepada Jeffries atas pencalonan berkenaan, sambil menyatakan mereka akan meneruskan perbincangan dengan Ketua Jeffries bagi memastikan Demokrat melaksanakan agenda berani demi golongan pekerja.
Selain menguruskan proses penggubalan undang-undang, Jeffries sebagai Speaker turut perlu menyelia pelbagai siasatan yang dirancang Demokrat terhadap Trump, keluarganya dan anggota Kabinet selepas parti itu kembali menguasai kuasa pengawasan Dewan Perwakilan.
Dalam melengkapkan barisan kepimpinan parti, Demokrat di Dewan Perwakilan turut memilih Katherine Clark dari Massachusetts sebagai ketua majoriti, Pete Aguilar dari California sebagai ketua penguat kuasa parti dan Joe Neguse dari Colorado sebagai Penolong Speaker.-AGENSI











