WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan Jabatan Kehakiman (DOJ) menyiasat Parti Demokrat yang didakwanya mengugut beberapa pihak dengan ancaman pendakwaan dan bentuk hukuman lain.
Dalam hantaran di media sosial semalam, Trump menyifatkan tindakan Demokrat itu sebagai ‘perbuatan jenayah’, namun tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya.
Parti Demokrat mencatat kemenangan besar ke atas calon Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November, sekali gus memperoleh kawalan terhadap Kongres mulai Januari depan.
Pemimpin parti itu sebelum ini berikrar untuk memperkukuh semula fungsi pengawasan Kongres terhadap cabang eksekutif apabila mengambil alih kuasa, termasuk melalui pendengaran awam dan siasatan terhadap tindakan pentadbiran Trump.
Trump dalam hantaran sama mendakwa Demokrat menghantar ‘surat ugutan kepada ramai pihak yang tidak bersalah’.
Anggota Kongres sebelum ini mendedahkan salinan beberapa surat yang meminta dokumen berkaitan pelbagai perkara, termasuk sumbangan syarikat teknologi bagi pembinaan dewan besar yang sedang dibangunkan Trump di Rumah Putih.
Hantaran itu turut merujuk kepada Senator Demokrat dari Michigan, Elissa Slotkin, yang dalam satu ucapan di Universiti Chicago pada Oktober mencadangkan supaya Kongres menyiasat individu yang membantu melaksanakan dasar Trump.
Dalam ucapannya, Slotkin berkata beliau mahu golongan muda yang baru menamatkan pengajian mempertimbangkan risiko sebelum menyertai pentadbiran Trump.
“Saya mahu mereka berfikir, ‘Patutkah saya bekerja untuk pentadbiran Trump?’… Saya mahu mereka sedar bahawa tindakan itu mungkin mengundang pelbagai masalah yang tidak diingini, lalu memilih untuk tidak terlibat. Saya mahu mesej pencegahan itu disampaikan,” katanya.
Kenyataan Slotkin yang dibuat beberapa minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal itu menerima kritikan daripada Parti Republikan.- AGENSI











