Kemasukan babi hidup di Pelabuhan Klang patuhi syarat ketat - Utusan Malaysia

Kemasukan babi hidup di Pelabuhan Klang patuhi syarat ketat

Peraturan babi
IZHAM Hashim melawat tapak projek komersial dekat Taman Kerayong yang berlaku banjir kilat sebelum ini di Kapar, Klang, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kemasukan babi hidup ke negeri ini melalui Pelabuhan Klang didakwa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk penghantaran terus haiwan itu ke pusat penyembelihan.

Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tidak timbul isu ketidakpatuhan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda sebelum ini menegaskan berkenaan larangan menternak haiwan berkenaan di negeri ini.

“Yang penting, sebarang keputusan mesti mematuhi peraturan, dari awal pun masa kebenaran (diberi) untuk mereka bawa masuk. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan pematuhan terhadap semua syarat ketat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maksudnya, babi sampai terus tak boleh singgah di mana-mana, terus bawa ke pusat penyembelihan,” katanya pada pemberita ketika ditemui semasa tinjauan projek tebatan banjir sekitar daerah ini, di sini, hari ini.

Malah, beliau menegaskan, tidak berlaku pencemaran, sebaliknya risiko disuarakan dahulu itu adalah kebimbangan yang dibangkitkan jika isu berkenaan terjadi.

“Sebenarnya tak timbul, tiada kes yang jadi punca pencemaran. Cuma kebimbangan berlaku (pencemaran) di Pelabuhan Klang.

“Lagipun pelabuhan itu bukan untuk Selangor sahaja, tetapi negara Bukan (sahaja) babi semua benda dibawa masuk termasuk lembu dan kambing,” jelasnya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap teguran serta nasihat Sultan Selangor  berhubung isu babi demi menjaga kepentingan agama, rakyat dan alam sekitar.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, pandangan baginda mengenai isu tersebut mengambil kira keadaan tanah di Selangor yang terhad untuk pembangunan serta kebimbangan terhadap pencemaran udara dan sistem saliran.

Ini kerana, titah ucapan baginda sebelum ini turut menekankan bahawa setiap teguran, nasihat, pandangan dan cadangan bukan bertujuan mencampuri urusan kerajaan negeri, sebaliknya bagi memastikan kepentingan agama dan rakyat dijaga.

Bagaimanapun Izham memaklumkan jika terdapat sebarang perubahan, ia akan dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu dan keputusannya akan dibuat oleh kerajaan negeri.

“Jika ada, saya akan bentangkan. Tetapi setakat ini tiada pelanggaran sebarang syarat. Tetapi kalau keputusan negeri lain (atau) tak benarkan, itu kena dibincangkanlah.

“Belum ada perbincangan sebab kita tak lihat ada pelanggaran mana-mana syarat,” ujarnya.

Minggu lalu, kerajaan negeri dilapor menyiasat kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu bagi mengenal pasti destinasi sebenar ternakan itu sebelum menentukan tindakan susulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian ternakan berkenaan hanya transit di Selangor sebelum dihantar ke negeri lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini