KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Elfira Loy, 32, memberitahu di media sosial bahawa dia terlalu merindukan ibunya, Allahyarham Filzah Yusoff yang pergi menghadap illahi pada September lepas.
Meluahkan perkara itu dalam Thread, Elfira atau nama sebenarnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata dia berharap dia dan ibunya dapat disatukan nanti.
“Ya Allah, saya terlalu merindukan mama. Saya harap satu masa nanti, apabila tiba masanya, saya akan bertemu dengan dia lagi,” katanya.
Pelakon yang dikenali menerusi drama Qalesya itu pada masa yang sama berkongsi foto terakhir dia dan adik beradiknya yang sempat dirakam pada hari-hari terakhir kehidupan ibunya tersebut.
Elifra dalam pada itu memaklumkan yang dia termimpikan arwah dan sempat memeluknya dalam mimpi tersebut.
“Semalam, saya mimpi arwah, pegang tangannya buat kali terakhir, tatap matanya dan maklumkan kepada dia yang saya sayangkan dia.
“Saya rasakan seperti momen tersebut mencukupi. Tetapi selepas terbangun dari mimpi itu, saya merasakan sakit kehilangan itu masih ada.
Pelakon berkenaan dalam masa yang sama melayangkan doa buat ibunya agar diberi ketenangan dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Ya Allah, Tuhan yang maha pengasih, ampunilah mamaku dan selimutkanlah mamaku dengan rahmat Mu.
“Dalam sunyi alam barzakh, jadikanlah kuburnya taman yang indah daripada taman-taman syurga dipenuhi cahaya, ketenangan dan kasih sayang mu. Lindungilah mereka daripada segala fitnah dan azab kubur.
“Ya Allah, terimalah setiap kebaikan yang pernah dilakukan, walau sekecil mana pun, dan gandakanlah ganjarannya dengan kemurahan mu,” kongsinya.











