WASHINGTON: Syarikat gergasi teknologi, Microsoft menawarkan pakej pemisahan sukarela (VSS) kepada kira-kira 60,000 kakitangannya.
Ia merangkumi hampir suku daripada keseluruhan tenaga kerja sebagai langkah mengurangkan kos syarikat demi mengimbangi pelaburan besar-besaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Tawaran berkenaan terbuka kepada kakitangan terpilih di Amerika Syarikat (AS), Kanada, India dan United Kingdom (UK) yang berkhidmat di peringkat naib presiden serta ke bawah.
“Tawaran ini dibuka kepada pekerja yang layak dalam pasukan terbabit di Kanada, India, UK dan AS bagi gred tahap 70 dan ke bawah,” kata jurucakap Microsoft menerusi kenyataan di blog rasminya pada Isnin.
Program pemisahan sukarela itu dilaporkan bakal memberi kesan kepada beberapa bahagian penting syarikat termasuk unit pengalaman AI, Copilot, kewangan, sumber manusia, Xbox dan Windows + Devices.
Bagaimanapun, penawaran berkenaan tidak terpakai bagi beberapa kumpulan pekerja tertentu antaranya pasukan yang mengendalikan pusat data, perniagaan komersial, pemasaran dan unit keselamatan.
Langkah pengurangan kos tenaga kerja ini dibuat ketika Microsoft terus mempertingkat saiz modal dan tumpuan utama mereka untuk memajukan infrastruktur serta produk berasaskan AI.
Ketika syarikat gergasi teknologi terus membelanjakan dana besar untuk pelaburan berkaitan AI, kebimbangan terhadap kesan teknologi itu terhadap peluang pekerjaan terus berlarutan.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei, turut memberi amaran mengenai kehilangan pekerjaan secara besar-besaran.
Netflix dilaporkan akan mengurangkan kira-kira enam peratus tenaga kerjanya, bersamaan 1,000 pekerjaan, menurut laporan media AS minggu lalu.
Laman lelongan eBay memberhentikan 1,000 pekerja awal bulan ini, menyusuli langkah sama pada awal tahun yang menjejaskan 800 pekerjaan.
Pada Mei lalu, Meta memberhentikan kira-kira 10 peratus tenaga kerja globalnya, melibatkan sekitar 8,000 pekerja. – AGENSI











