Kastam rampas dadah RM1.03 juta, sita Mini Cooper

Kastam rampas dadah RM1.03 juta, sita Mini Cooper

ANTARA barang rampasan dadah oleh JKDM di KLIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 16.394 kilogram dadah jenis bunga ganja dan ketamin bernilai RM1.03 juta dalam dua kes berasingan di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG. Tuah berkata, rampasan bunga ganja seberat 7.280 kilogram bernilai RM582,400 dilakukan di Pos Malaysia International Hub, KLIA pada 12 Oktober lalu.

Beliau berkata, dadah berkenaan ditemukan dalam tujuh bungkusan kotak yang dipercayai hendak dieksport ke sebuah negara di Eropah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan menemukan bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang disyaki mengandungi bunga ganja, disembunyikan di dalam kotak yang diikrarkan sebagai kasut dan barang permainan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kes kedua membabitkan rampasan 9.114 kilogram ketamin bernilai RM455,700 di sebuah pengendali terminal kargo pada 9 Oktober lalu.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai dihantar dari sebuah negara di Eropah ke Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan kargo.

“Hasil pemeriksaan menemukan sembilan bungkusan aluminium yang disyaki mengandungi ketamin, disembunyikan dalam kotak yang diikrarkan sebagai sepana paip dan kotak peralatan,” katanya.

Aspalila berkata, kedua-dua kes dikesan menerusi pemeriksaan rutin anggota Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Pusat Mel dan Kurier JKDM KLIA.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan adalah menyembunyikan dadah dalam bungkusan dan menggunakan maklumat alamat pengirim serta penerima yang palsu atau tidak lengkap bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Katanya, kes rampasan bunga ganja disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya disabitkan kesalahan.

Kes rampasan ketamin turut disiasat mengikut peruntukan sama, manakala kedua-dua kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, JKDM KLIA turut menyita dua buah kereta Mini Cooper S bernilai RM180,000 yang diimport tanpa permit sah dalam operasi di dua lokasi berasingan sekitar Sepang pada 14 September lalu.

Aspalila berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain tidak mempunyai rekod pengimportan dan pendaftaran dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, anggaran cukai dan duti yang terlibat bagi kedua-dua kenderaan itu berjumlah RM154,620, manakala siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemiliknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini