KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat dalaman pimpinan tertinggi MCA dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang ini bagi membincangkan isu pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut sumber, ia untuk menyelesaikan kemelut rundingan kerusi melibatkan MCA dalam Barisan Nasional (BN).
Katanya, rundingan ketika ini adalah positif dan perkara itu dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Akan ada mesyuarat dalaman MCA pada pukul 2 petang ini dan setakat ini ia positif dan akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi PRN Melaka selesai dengan perkembangan positif.
Beliau berkata, perbincangan itu membabitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Bagaimanapun, Ka Siong berpandangan terlalu awal untuk menganggap rundingan mencapai perkembangan positif.
Sebelum ini, MCA bertegas tidak mengiktiraf mana-mana calon yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.
Tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain. – UTUSAN











