PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri prosiding saman sivil melibatkan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Ia adalah bagi permohonan kebenaran merayu bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghidupkan semula saman sivil RM1.9 juta terhadap Tommy berhubung dakwaan salah guna kuasa jawatan awam.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Najib sebagai pemohon.
Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Azmi Ariffin.
Dengan keputusan itu, mahkamah mengeluarkan perintah mengemukakan tahanan (order to produce) kepada pihak penjara bagi membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu hadir pada hari terbabit serta prosiding rayuan substantif sekiranya kebenaran diberikan.
Pada prosiding itu, Najib diwakili peguam, S. Bala Ravi. Mahkamah kemudian menetapkan pendengaran bagi permohonan kebenaran itu pada 26 November ini.
Pada 13 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ravinthran N. Paramaguru sebulat suara memutuskan bahawa bekas Peguam Negara itu tidak mempunyai sebarang imuniti namun mahkamah mendapati tidak ada salah laku dalam tindakan Tommy.
Keputusan itu menyebabkan Najib gagal menghidupkan semula saman menuntut RM1.9 juta daripada Tommy yang didakwa telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) serta cuai ketika memegang jawatan itu.
Tommy menyandang jawatan Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.
Najib didakwa buat pertama kali bagi kesalahan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masing-masing pada 4 Julai dan 20 September 2018.
Najib memfailkan saman tersebut pada 22 Oktober 2021 yang antara lain mendakwa Tommy telah bersikap prejudis terhadapnya sebelum beliau didakwa di mahkamah dan telah campur tangan dalam siasatan serta tidak mengkaji kesnya dengan objektif.
Selain itu, bekas Peguam Negara itu didakwa telah menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan Najib.
Najib turut mendakwa 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.
Najib antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya. – UTUSAN











