LANGKAWI: Industri pelancongan Langkawi yang menjadi sumber rezeki hampir 90 peratus penduduk pulau itu boleh terjejas teruk sekiranya penyebaran cerita negatif atau maklumat tidak tepat tidak dihentikan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semua pihak tidak patut hanya menumpukan kelemahan atau perkara negatif mengenai Langkawi sehingga menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan pelancong.
Katanya, Langkawi bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan yang menawarkan ketenangan dan keindahan alam malah menyumbang pendapatan besar kepada negara menerusi sektor berkenaan.
“Langkawi dianggarkan menyumbang antara RM4 bilion hingga RM7 bilion setahun kepada pendapatan sektor pelancongan negara sekali gus menjadikan pemeliharaan imej Langkawi sebagai tanggungjawab semua pihak.
“Tapi kenapa hanya nak burukkan Langkawi? Cakaplah perkara yang baik dan rasai keunikan Langkawi. Ramai orang cakap benda negatif tentang Langkawi untuk beri gambaran tidak elok. Berhentilah buat cerita tidak elok itu. Kita perlu jaga pulau ini sebaiknya,” katanya selepas melancarkan Kempen Langkawi Care di sini.
Ujar Muhammad Sanusi, tanggapan bahawa kemasukan pelancong ke Langkawi tidak sehebat Phuket di Thailand, perlu dilihat dalam konteks jumlah pelancong yang mengunjungi Malaysia secara keseluruhan.
Katanya, kempen positif mengenai Langkawi bukan sahaja mampu meningkatkan kunjungan ke pulau itu malah turut membantu menarik pelancong ke Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, perbezaan harga barangan di Langkawi berbanding destinasi lain perlu dinilai berdasarkan kedudukan pulau itu yang bergantung kepada bekalan dari luar.
“Langkawi adalah pulau, jadi ada kos pengangkutan untuk bawa masuk bahan mentah. Semua itu perlu dibawa dari luar dan sudah tentu ada kos. Bukan makanan sahaja, bahan binaan juga lebih mahal kerana perlu dibawa guna kapal,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, cerita tidak benar yang dikongsi berulang kali boleh menimbulkan keraguan orang ramai yang seterusnya menjejaskan kemasukan pelancong.
“Setiap dakwaan tidak berasas itu perlu dijawab menggunakan fakta yang tepat dan jelas melalui pendekatan yang cekap serta pantas agar tidak berlarutan sehingga dipercayai masyarakat kerana pada akhirnya yang menerima kesan ialah masyarakat yang mencari rezeki melalui industri ini,” katanya. – UTUSAN











