LANGKAWI: Kerajaan diminta memberi suntikan baharu kepada Langkawi menerusi Belanjawan 2027 bagi merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi pulau peranginan itu yang didakwa semakin terkesan.
Pengerusi Kelab Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, antara perkara yang diharapkan adalah perhatian khusus kerajaan terhadap kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan serta usaha mengembalikan kemudahan bebas cukai yang pernah menjadi antara tarikan utama pulau itu.
“Satu sentuhan daripada kerajaan menerusi Belanjawan 2027 amat diperlukan. Kalau boleh, kepentingan Langkawi diberi perhatian lebih dan isu berkaitan kemudahan bebas cukai turut dipertimbangkan.
“Saya harap Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dapat memberi perhatian kepada isu ini kerana sektor pelancongan Langkawi sangat terkesan,” katanya ketika ditemui selepas program Santai Bersama Anak Muda Langkawi, di sini, hari ini.
Zuraidi berkata, kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan khusus bagi membolehkan golongan muda menganjurkan lebih banyak aktiviti sihat, termasuk program permotoran yang mampu menarik penyertaan pengunjung luar.
Katanya, program berskala besar mampu menjadi salah satu kaedah menarik kedatangan pelancong ke pulau itu selain memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha hotel, restoran, pengangkutan dan sektor berkaitan.
“Program permotoran berskala besar dapat menarik ratusan ribu peminat ke pulau ini. Ia bukan sahaja memberi ruang kepada anak muda melakukan aktiviti sihat, tetapi pada masa sama boleh membantu menggerakkan ekonomi Langkawi,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berharap Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada golongan nelayan di Langkawi dengan menambah peruntukan bantuan bagi membolehkan mereka membaiki bot dan menggantikan enjin yang rosak.
Katanya, bantuan berkenaan penting bagi membantu nelayan meningkatkan keupayaan menangkap ikan dan menambah pendapatan untuk menyara keluarga.
Zuraidi berkata, cadangan berkenaan wajar diberi perhatian kerana Belanjawan 2027 perlu mengambil kira keperluan khusus komuniti serta sektor ekonomi di Langkawi. – UTUSAN











