BUKAN mudah menjual keindahan sebuah destinasi apabila persepsi buruk lebih dahulu sampai kepada bakal pengunjung. Itulah cabaran yang sekian lama dihadapi pemain industri pelancongan di Langkawi.
Mereka bukan sekadar mempromosikan pulau legenda itu, malah terpaksa berulang kali menjawab dakwaan yang menjejaskan keyakinan pelancong.
Benarkah Langkawi terlalu mahal? Betulkah pelancong bukan Islam tidak boleh berseluar pendek ketika bercuti di pulau itu?
Soalan seperti ini mungkin kedengaran remeh kepada sesetengah pihak. Namun, bagi pemain industri pelancongan yang membawa nama Langkawi ke luar, persoalan sama yang berulang menunjukkan betapa sesuatu persepsi boleh berakar dalam fikiran orang ramai.
Seorang pengurus hotel lima bintang di Langkawi pernah berkongsi bahawa rakannya dari Guangzhou, China turut bertanyakan soal pakaian pelancong. Pertanyaan itu timbul selepas rakannya menemukan dakwaan berkenaan ketika membuat carian di internet mengenai Langkawi.
Bayangkan, sebelum sempat seseorang mengenali keindahan pantai, keunikan alam dan kemesraan penduduknya, keraguan sudah terlebih dahulu terbentuk.
Bagi pengusaha hotel, pemandu pelancong, pengusaha bot, peniaga makanan dan ribuan keluarga yang bergantung pada sektor pelancongan, kesannya jauh lebih besar.
Persepsi boleh mempengaruhi keputusan perjalanan, sekali gus menentukan sama ada pendapatan sampai ke tangan mereka atau beralih ke destinasi lain.
Sebab itu, kerugian akibat imej Langkawi yang tercalar tidak terhenti di pulau tersebut. Malaysia turut menerima kesannya kerana Langkawi ialah antara aset penting pelancongan negara, lebih-lebih lagi dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagi Kedah, Langkawi bukan sekadar sebuah destinasi malah pulau itu merupakan permata kebanggaan negeri, dengan keindahan, warisan dan legenda yang membentuk identitinya sendiri.
Menjaga permata itu menuntut lebih daripada rasa bangga. Ia memerlukan kesungguhan membaiki kelemahan dan keberanian mempertahankan kebenaran.
Keprihatinan tersebut turut dizahirkan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menerusi titah baginda pada istiadat sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-84 di Istana Anak Bukit, Julai lalu.
Baginda menekankan bahawa pembangunan Langkawi perlu mengikut acuan dan identitinya sendiri, tanpa meniru atau membandingkannya dengan destinasi seperti Phuket di Thailand atau Bali di Indonesia.
Baginda turut menegaskan pendirian terhadap tindakan dan kenyataan yang boleh mencemarkan imej serta reputasi Langkawi.
Titah itu membawa mesej yang jelas. Langkawi perlu maju dengan kekuatannya sendiri, sementara nama baiknya menjadi tanggungjawab bersama untuk dipelihara.
Atas semangat tersebut, kempen Langkawi Care dilancarkan pada 27 Oktober lalu menerusi inisiatif Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Langkawi.
Penglibatan agensi Persekutuan dan negeri, pemain industri, pemimpin masyarakat serta wakil komuniti memperlihatkan betapa semua pihak di Langkawi tidak pernah lelah untuk berusaha memajukan Langkawi.
Bertemakan ‘Reputasi Kita, Tanggungjawab Kita’, kempen itu meletakkan pengalaman pengunjung sebagai asas membina semula keyakinan.
Hakikatnya, reputasi sesebuah destinasi tidak terbentuk melalui promosi semata-mata. Ia lahir daripada pengalaman sebenar, bermula ketika pelancong membuat tempahan sehingga mereka pulang membawa cerita untuk dikongsi.
Harga yang jelas, layanan yang mesra, persekitaran yang bersih dan rasa selamat mungkin kelihatan seperti perkara asas. Namun, perkara asas itulah yang menentukan sama ada percutian meninggalkan kenangan manis atau rasa kecewa.
Langkawi Care memberikan tumpuan kepada lima teras, iaitu nilai yang berbaloi, layanan mesra, kebersihan, keselamatan dan suara pengunjung. Kelima-limanya saling melengkapi.
Nilai yang berbaloi tidak semestinya bermaksud semua tawaran perlu murah. Yang lebih utama ialah ketelusan harga, mutu yang setimpal dan perkhidmatan yang menepati apa yang dijanjikan. Pengunjung perlu tahu apa yang dibayar dan menerima pengalaman yang sepadan dengan bayaran tersebut.
Begitu juga layanan mesra. Keindahan sebuah hotel atau kecanggihan kemudahan tidak akan memberi makna sepenuhnya jika pengunjung berhadapan sikap sambil lewa.
Sebaliknya, sapaan yang baik, bantuan yang ikhlas dan tindakan profesional ketika menyelesaikan masalah mampu meninggalkan kesan yang panjang.
Kebersihan pula mesti menjadi budaya harian. Pantai, jeti, tandas awam, kawasan perniagaan dan lokasi tumpuan pelancong ialah wajah Langkawi yang dilihat secara langsung oleh pengunjung. Keadaannya mencerminkan tahap kepedulian kita terhadap keselesaan mereka.
Dalam soal keselamatan, perhatian perlu diberikan kepada kesiapsiagaan petugas, pematuhan prosedur dan penyampaian maklumat yang mudah difahami.
Panduan kecemasan, termasuk paparan nombor untuk mendapatkan bantuan, wajar diletakkan dengan jelas di lokasi strategik supaya pengunjung tahu tindakan yang perlu diambil apabila berdepan kecemasan.
Suara pengunjung juga perlu didengar dengan sikap terbuka. Penghargaan boleh menjadi dorongan, manakala aduan yang berasas ialah petunjuk kepada kelemahan yang perlu diperbaiki.
Sehubungan itu, sebuah laman web telah diwujudkan iaitu langkawicare.my bagi membolehkan kalangan pengunjung memberi pandangan, penghargaan mahu pun aduan terhadap apa jua perkara yang mereka lalui di Langkawi.
Bagi memastikan kempen ini tidak berakhir layu selepas majlis pelancaran, beberapa inisiatif diambil antaranya ialah latihan pemasaran digital bagi meningkatkan keterlihatan produk pelancongan, pengiktirafan kepada pengusaha yang menawarkan nilai terbaik serta latihan hospitaliti dan kecemerlangan perkhidmatan.
Sebagai permulaan, Kedah Tourism bersama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Kedah akan menganjurkan Kursus Mesra Malaysia melibatkan pemain industri pelancongan di Langkawi pada November depan.
Usaha itu akan disokong dengan program gotong-royong, latihan asas pertolongan cemas bersama pasukan penyelamat serta penyediaan maklumat keselamatan untuk pengunjung.
Setiap inisiatif mempunyai tujuan yang sama, iaitu menjadikan pengalaman bercuti di Langkawi lebih selesa, selamat dan meyakinkan.
Kekuatan Langkawi Care terletak pada kebersamaan pihak yang mendukungnya. Kerajaan mempunyai peranan menyediakan sokongan dan penyelarasan.
Pengusaha bertanggungjawab terhadap mutu perkhidmatan, sementara komuniti turut membentuk suasana yang menyambut kedatangan pelancong.
Ukuran kejayaan Langkawi Care bukan pada kemeriahan pelancarannya, tetapi pada cerita yang dibawa pulang oleh pengunjung. Adakah mereka berasa dihargai? Adakah percutian mereka berbaloi? Adakah mereka mahu datang lagi?
Apabila jawapannya ialah ya, mereka sendiri akan menjadi penyampai cerita terbaik tentang Langkawi.
Permata ini akan terus bersinar apabila setiap orang yang menjaganya dan memahami bahawa reputasi bukan sekadar nama untuk dipertahankan, tetapi amanah yang perlu dibuktikan melalui perbuatan.
Atas sebab itulah, ‘Reputasi Kita, Tanggungjawab Kita’ diperkenalkan sebagai tema Langkawi Care yang diharap menjadi pemangkin kepada sektor pelancong di pulau legenda itu. – UTUSAN











