PETALING JAYA: MBSB Research tidak menolak kemungkinan YTL Power International Bhd. (YTL Power) akan membangunkan kampus pusat data berskala gigawatt (GW) di Bukit Kerayong, Klang, meskipun maklumat awal menunjukkan kumpulan berkenaan hanya bercadang membangunkan taman perindustrian bersepadu di tanah yang baru dibelinya.
Firma penyelidikan itu berkata, secara teorinya keluasan tanah berkenaan mampu menampung kapasiti pusat data sehingga 4GW dan berpotensi mengatasi skala Taman Pusat Data Hijau YTL di Kulai, Johor.
“Potensi itu dikenal pasti susulan usaha sama YTL Power menerusi Bukit Kerayong Industrial Venture Sdn. Bhd. dengan SD Guthrie Bhd. (SD Guthrie) dan Bumi Assets Sdn. Bhd. menubuhkan Bukit Kerayong Industrial Developments Sdn. Bhd. (BKID) untuk membangunkan tanah pegangan bebas seluas 657.09 hektar yang ketika ini digunakan sebagai ladang kelapa sawit di Estet Bukit Kerayong.
“Dengan andaian kira-kira 202.4 hektar diperuntukkan untuk pembangunan pusat data, Bukit Kerayong secara teorinya berupaya menampung kapasiti sehingga 4GW.
“Anggaran itu secara umumnya setanding dengan potensi pembangunan kampus baharu YTL Power di Sedenak Tech Park West (STeP West), yang mempunyai kawasan awal seluas 58.7 hektar dan berpotensi menyokong kapasiti sehingga 1.2GW,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, MBSB Research mengakui unjuran itu merupakan senario pembangunan yang agresif berbanding kampus Kulai milik kumpulan seluas 663.68 hektar dengan 111.28 hektar diperuntukkan bagi pusat data berkapasiti 1.2GW, manakala baki kawasan dirancang untuk pembangunan solar.
Dalam perkembangan berkaitan, BKID akan memperoleh tanah berkenaan daripada SD Guthrie pada harga RM933.6 juta, bersamaan kira-kira RM13.20 sekaki persegi.
Tanah itu dibahagikan kepada tiga lot masing-masing berkeluasan 252.67 hektar, 211.92 hektar dan 192.50 hektar.
Harga pembelian berkenaan mencerminkan premium sederhana sebanyak lima peratus berbanding penilaian bebas RM889 juta.
Bagaimanapun, MBSB Research menyifatkan harga itu menarik memandangkan pelupusan tanah seluas kira-kira 413.6 hektar di Estet Bukit Kerayong oleh SD Guthrie kepada usaha samanya dengan Sime Darby Property Bhd. pada Julai 2026 dibuat pada harga RM17.93 sekaki persegi.
Struktur pegangan saham BKID terdiri daripada Bukit Kerayong Industrial Venture Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh YTL Power, sebanyak 35 peratus, Bumi Assets Sdn Bhd (35 peratus) dan SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SD Guthrie, sebanyak 30 peratus.
Selain pembangunan pusat data, kira-kira 454.46 hektar tanah dijangka masih tersedia sekiranya 202.3 hektar diperuntukkan untuk pembangunan berkenaan. – UTUSAN











