PETALING JAYA: Penggunaan elektrik pusat data di Semenanjung Malaysia dijangka melonjak hampir 600 peratus kepada 73,274 gigawatt-jam (GWh) menjelang 2035 berbanding 10,544 GWh pada 2026, sekali gus memerlukan pelaburan sehingga RM93 bilion bagi pembangunan kapasiti solar baharu.
CIMB Securities dalam nota penyelidikannya berkata, dianggarkan sekitar 24.3 gigawatt (GW) kapasiti solar baharu perlu dibangunkan sepanjang tempoh 2026 hingga 2035 bagi memenuhi sasaran penggunaan tenaga boleh baharu dan menyokong peningkatan permintaan elektrik.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 20.2 GW kapasiti solar dijangka dipadankan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), manakala selebihnya melibatkan kapasiti solar tanpa sistem penyimpanan tersebut,” katanya.
Firma penyelidikan itu menganggarkan kos pembangunan setiap megawatt kapasiti solar yang dilengkapi sistem penyimpanan bateri adalah sekitar RM4 juta, merangkumi RM3 juta bagi kemudahan solar dan RM1 juta bagi sistem bateri.
“Keperluan pelaburan itu didorong pertumbuhan pesat industri pusat data yang semakin penting dalam usaha Malaysia muncul sebagai hab pusat data serantau di Asia Tenggara.
“Menurut unjuran Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan dan Tarif Elektrik (JPPPET), bahagian penggunaan elektrik pusat data daripada keseluruhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat kepada 31 peratus menjelang 2035 berbanding enam peratus pada separuh pertama 2026,” katanya.
Pada pertengahan 2026, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dilaporkan telah menandatangani perjanjian bekalan elektrik dengan 61 projek pusat data yang mempunyai jumlah permintaan maksimum sebanyak 8.35 GW.
Selain itu, sekitar 30 hingga 40 projek pusat data dengan anggaran permintaan elektrik sebanyak 5 GW sedang berada dalam saluran kelulusan, menunjukkan potensi pertambahan permintaan tenaga dalam tempoh akan datang.
CIMB Securities berkata, peningkatan permintaan tersebut memerlukan perancangan bekalan elektrik yang teliti, termasuk penambahan kapasiti penjanaan dan pemodenan grid bagi memastikan kestabilan sistem serta menyokong penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi.
“Permintaan puncak elektrik di Semenanjung Malaysia diunjur meningkat daripada 21.3 GW pada 2026 kepada 33.5 GW menjelang 2035, didorong terutamanya oleh perkembangan pesat pusat data.
“Bagi memenuhi keperluan tenaga negara, bahagian tenaga boleh baharu dalam campuran penjanaan elektrik Semenanjung Malaysia disasarkan meningkat kepada 22 peratus menjelang 2035 berbanding 11 peratus pada 2025,” katanya.
Dalam pada itu, penggunaan gas dijangka terus meningkat sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara, dengan bahagiannya diunjurkan naik daripada 37 peratus pada 2025 kepada 59 peratus menjelang 2035.
Sebaliknya, bahagian arang batu dalam campuran penjanaan elektrik dijangka menurun daripada 52 peratus kepada 10 peratus dalam tempoh sama, selaras dengan perubahan ke arah penggunaan sumber tenaga yang lebih mampan.
Selain pembangunan solar, CIMB Securities menganggarkan pelaburan sehingga RM83 bilion diperlukan untuk membangunkan kapasiti penjanaan elektrik berasaskan gas baharu sehingga 15 GW dalam tempoh sedekad akan datang.
“Bagaimanapun, keperluan pelaburan itu berpotensi berkurangan kepada RM42 bilion bagi kapasiti sekitar 7.4 GW sekiranya perjanjian pembelian tenaga bagi empat loji arang batu dilanjutkan,” tambahnya. – UTUSAN











