PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan rundingan empat mata dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing bagi membincangkan isu pelarian negara itu ke Malaysia.
Dalam pertemuan selama setengah itu, Perdana Menteri berkata, perbincangan memfokuskan mengenai penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah melibatkan warga Myanmar tanpa mengira etnik.
“Saya percaya bahawa perbincangan dan rundingan secara langsung dengan Presiden Aung Hlaing serta pimpinan Myanmar penting untuk mencapai penyelesaian yang lebih tuntas dalam isu pelarian.
“Pendekatan selama ini yang mengehadkan ruang dialog tidak membuahkan hasil, bahkan isu yang berlarutan selama puluhan tahun ini terus meruncing dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, pertemuan dalam suasana saling menghormati itu juga sebagai kesinambungan pertemuan kedua-dua pemimpin di Bangkok, Thailand, awal tahun lalu.
Katanya, perbincangan dibuat secara terbuka mengenai isu yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara.
“Justeru, ruang perbincangan yang berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengusahakan penyelesaian yang nyata,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyambut ketibaan Aung Hlaing sempena lawatan rasminya ke Malaysia.
Kehadiran pemimpin Myanmar dan delegasinya itu diberikan sambutan rasmi negara, melibatkan pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD). – UTUSAN











