Samun RM2.91 juta: Polis percaya kejadian ada kaitan ‘orang dalam’ 

Samun RM2.91 juta: Polis percaya kejadian ada kaitan ‘orang dalam’ 

FADIL Marsus ketika sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini. GAMBAR/BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengesan elemen ‘orang dalam’ dalam siasatan kes samun berkumpulan membabitkan kerugian RM2.91 juta di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang di sini pada 7 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan setakat ini mendapati terdapat kaitan kes samun itu dengan mangsa sendiri, namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut.

“Ada lah (orang dalam, apa yang boleh saya katakan (kes ini) ada kaitan dengan mangsa itu sendiri.

“Bagaimana kaitannya akan dijelaskan kemudian. Beri siasatan berjalan terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Fadil berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dalam kes berkenaan tetapi belum membuat sebarang tangkapan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah suspek yang dikenal pasti kerana siasatan masih giat dijalankan.

“Kita masih dalam tindakan penyiasatan dan ia dilakukan secara agresif.

“Setakat ini belum ada tangkapan lagi, beri kami sedikit masa,” katanya.

Fadil berkata, mangsa dan penghuni kediaman berkenaan, kakitangan serta pengawal keselamatan antara individu diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya turut berhubung dengan Kedutaan China serta pihak berkaitan susulan kehilangan pasport mangsa.

Bagaimanapun, Fadil enggan mendedahkan sama ada suspek masih berada dalam negara kerana perkara itu dianggap sensitif pada peringkat siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 2 hingga 3 petang pada 7 September lalu, sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau dipercayai menceroboh masuk ke sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy, Jalan Ampang.

Kumpulan itu melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan anggaran kerugian RM2.91 juta, selain merosakkan telefon bimbit serta melarikan pasport milik mangsa lelaki warga China berusia 28 tahun.

Polis sebelum ini turut merakam keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×