PETALING JAYA: Polis berjaya menyelesaikan kes samun di sebuah kedai serbaneka di Taman Mutiara, Cheras susulan penahanan dua lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di sekitar Kajang dan Cheras pada 25 Februari lalu.
Kejadian samun itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4 pagi pada 22 Februari lalu di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan kedua-dua suspek berusia lingkungan 26 tahun.
“Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek juga membawa kepada penyelesaian beberapa kes samun kedai serbaneka serta melarikan kenderaan yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.
“Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan pertuduhan dalam masa terdekat,” jelasnya. – UTUSAN










