SHAH ALAM: Wang tunai berjumlah RM82,000 berjaya diselamatkan daripada disamun selepas tindakan pantas seorang pengawal keselamatan menyimpan terus beg ke dalam sebuah van di hadapan sebuah bank dekat Bandar Bukit Tinggi, Klang, semalam.
Pengawal keselamatan itu bertindak demikian selepas menyedari didekati seorang lelaki tidak dikenali berpakaian berwarna gelap dan memakai topi keledar bertutup penuh serta diacukan objek berbentuk pistol jenis revolver ke arahnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku antara pukul 5.30 hingga 6 petang ketika pengawal berkenaan sedang membawa keluar wang tunai dari bank ke dalam van.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Yamaha bersama senjata jenis pump gun yang dirampas daripada pengawal keselamatan itu.
“Polis sedang giat mengesan suspek termasuk mengadakan sekatan jalan raya di kawasan-kawasan tertentu.
“Polis juga mengumpul segala rakaman video sama ada daripada saksi ataupun kamera litar tertutup (CCTV) termasuk dari bank dan premis-premis lain di sekitar serta kamera papan pemuka dari kenderaan yang berada di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Shazeli menambah, beliau tidak menolak kemungkinan suspek sudah berada di situ dan mengetahui jadual aktiviti pemindahan wang dari bank tersebut.
“Namun polis akan menyiasat segala aspek. Kita tidak menolak sebarang kemungkinan pada peringkat ini. Kita juga semak jadual pemindahan wang tersebut. Setakat ini itulah (tahu jadual pemindahan) yang kita percaya,” jelasnya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkannya.
Semalam, tular rakaman video dalam media sosial memaparkan kejadian cubaan merompak pengawal keselamatan yang sedang memindahkan wang tunai dari bank ke dalam sebuah van. – UTUSAN










