9 geng samun diberkas, 4.3kg barang kemas dirampas

9 geng samun diberkas, 4.3kg barang kemas dirampas

AZIZEE ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sembilan individu termasuk dua wanita warga asing yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun bersenjatakan parang berjaya diberkas oleh polis dalam Op Jingga D Garden yang dijalankan sejak 26 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 43 tahun, diberkas hasil beberapa serbuan yang dijalankan di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini.

“Mereka (suspek) ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan yang menyasarkan jurujual barang kemas di sekitar Seberang Perai Utara sebelum ini.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas barang kemas seberat kira-kira 4,300 gram (4.3 kilogram), sebilah parang, empat tayar bersama sportrim, tiga cincin serta dua buah kenderaan yang digunakan suspek,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan jurujual yang membawa barang kemas bagi tujuan penghantaran atau urusan jual beli di kedai emas sekitar negeri ini.

Katanya, dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes samun yang dilaporkan sebelum ini iaitu membabitkan kerugian sebanyak 6,023.69 gram barang kemas dianggarkan bernilai RM3.6 juta.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan. Ketika ini, mahkamah telah membenarkan permohonan reman terhadap lapan suspek bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi suspek akan dipohon reman hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil semakan mendapati, beberapa suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, malah tiga daripada mereka didapati positif methamphetamine melalui ujian saringan awal air kencing.

Azizee berkata, polis giat mengesan saki-baki ahli kumpulan itu yang masih bebas dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN