KUALA TERENGGANU: Selepas lebih dua minggu berkeliaran di sekitar Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, gajah jantan liar, Sulong Chalil ‘diiringi’ dua gajah denak, Rambai dan Cheri ke habitat baharunya di Taman Negara Terengganu, hari ini.
Sulong dipindahkan ke kawasan hutan semula jadi melalui pintu masuk Tasik Kenyir, Hulu Terengganu selepas operasi menyelamat dan pemindahan dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perhilitan memaklumkan, pemindahan itu dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan, lokasi serta tahap kesihatan Sulong yang sebelum ini mendapat perhatian orang ramai kerana kelibatnya di sekitar JRTB Gerik-Jeli.
Katanya, jabatan itu mula memantau rapi pergerakan dan keadaan fizikal Sulong sejak 17 Ogos lalu termasuk kecederaan yang direkodkan pada kaki kanannya.
“Sebagai gajah jantan dewasa, pergerakan Sulong secara bersendirian adalah tingkah laku semula jadi dan bukannya penanda bahawa ia terpisah daripada kumpulan atau sedang mencari keluarganya,” menurut kenyataan itu.
Hasil penilaian aspek keselamatan, lokasi dan tahap kesihatan, operasi menangkap semula Sulong dilaksanakan pada 30 Ogos lalu di kawasan JRTB, Gerik, Perak.Proses pemindahan Sulong kemudiannya dijalankan pada 1 September dengan sokongan PDRM serta bantuan dua gajah denak, Rambai dan Cheri.
Sepanjang operasi berkenaan, Sulong turut menerima pemantauan dan rawatan veterinar dengan kecederaan pada kaki kanannya menunjukkan perkembangan positif.
“Rawatan susulan akan diteruskan mengikut penilaian pegawai Veterinar,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pada 2 September, Sulong dipindahkan ke Taman Negara Terengganu melalui pintu masuk Tasik Kenyir, iaitu kawasan habitat hutan semula jadi yang sesuai untuk gajah liar. Pemindahan itu bertujuan menyediakan persekitaran yang lebih selamat kepada Sulong selain mengurangkan risiko konflik dengan manusia dan kemalangan di jalan raya.
Perhilitan berkata, kebajikan Sulong, keselamatan orang awam serta anggota operasi sentiasa menjadi keutamaan sepanjang usaha menyelamat dan pemindahan berkenaan.
“Setiap tindakan dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan di lapangan bagi memastikan risiko kepada semua pihak dapat diminimumkan,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN










